fbpx

Banjir Baling: Jakim diarah segera selaras bantuan kepada mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan segera menyelaras bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa negeri Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas dalam banjir kilat di Baling, Kedah semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff untuk menyelaras agihan bantuan itu.

Beliau berkata, Jakim dan agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama yang berkaitan juga telah diarah turun ke lapangan membantu pihak berkuasa negeri Kedah.

“Saya mengikuti rapat laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah semalam.

“Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat dengan ujian tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar tengah malam tadi.

Katanya, beliau mendoakan agar semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian ini.

Idris berkata, beliau juga menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Mekah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat Malaysia.

Idris kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji selain menguruskan perjalanan jemaah Haji Malaysia di sana. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI