fbpx
BAGI Norma, pemberian subsidi secara berterusan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara.

Subsidi berterusan beri kesan buruk kepada ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENINGKATAN harga barangan secara mendadak sejak akhir-akhir ini ternyata meresahkan rakyat.

Rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana pasti terkesan dengan peningkatan tersebut dan dapat dilihat rasa ketidakpuasan itu diluahkan di media sosial. Persoalannya, bagaimana peningkatan harga barangan itu boleh berlaku dengan mendadak sekali?

Bagi membincangkan hal tentang peningkatan harga barang dan kesannya kepada rakyat dan lain-lain hal berbangkit, wartawan KOSMO! AHAD, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Datuk Norma Mansor baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Kenaikan harga barangan keperluan pada masa kini meresahkan rakyat di negara ini, terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40 yang begitu terkesan dengan situasi itu. Apa yang sebenarnya berlaku dan adakah ia sesuatu yang normal?

NORMA: Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku, antaranya disebabkan pandemik Covid-19 dan perang Rusia-Ukraine.
Ini menyebabkan gangguan dari sudut rantaian bekalan barangan.

Selain itu, lonjakan harga barangan ini juga disebabkan kenaikan harga minyak dan kemerosotan nilai ringgit.

Kenaikan harga minyak pula dipengaruhi kesan peperangan dan semua ini berkait antara satu sama lain.

Pada masa sama, Malaysia mengimport bahan makanan dan kemerosotan nilai ringgit pula menyebabkan harga barangan import menjadi mahal di pasaran tempatan.

Malaysia juga merupakan sebuah negara pasaran terbuka yang kini menunjukkan nilai dagangan kita adalah 116 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Jadi, ini adalah sesuatu yang menunjukkan betapa terbukanya Malaysia sebagai negara dagang.

Oleh itu, sekiranya berlaku apa-apa di luar sana, ia mengganggu ekonomi dalam negara.

Ada pihak yang berterusan meminta kerajaan mengawal kenaikan harga barangan keperluan bagi mengimbangi risiko inflasi tinggi.
Adakah ia satu cadangan yang baik atau hanya menambah bebanan kerajaan dalam menguruskan kewangan negara berada pada tahap sewajarnya?

Sekiranya kita mengawal harga barangan dengan memberi subsidi, ia akan memberi kesan negatif.

Ini kerana, dari segi efisiensi ataupun kecekapan dalam ekonomi, kita akan terkesan.

Ketidakcekapan ini kemungkinan bakal menyebabkan kos dan kerana ketidakcekapan itu lebih tinggi daripada penjimatan kawalan harga, kesannya kerugian bagi rakyat.

Inflasi perlu diuruskan, namun ia tidak semestinya menjejaskan kewangan awam, kecuali mereka memikirkan bantuan kewangan ataupun cash transfer sebagai penyelesaian.

Ada banyak negara yang menggunakan bantuan sebegini sebagai satu penyelesaian.

Pada ketika ini, mungkin cash transfer perlu diberi.

Oleh itu, kerajaan perlu menanggung beban fiskal tersebut.

Pada pandangan saya, penyelesaian lebih efektif adalah dengan meningkatkan penawaran ataupun mengurangkan permintaan.

Terdapat inisiatif terhadap kedua-dua dasar ini, pertama dengan meningkatkan pengeluaran makanan seperti sayur-sayuran yang boleh diusahakan oleh mana-mana pihak bagi mengurangkan kebergantungan import.

Ini kerana, perbelanjaan kita dalam mengimport makanan adalah terlalu tinggi termasuk sayur-sayuran.

Keduanya, menggunakan dasar kewangan menguncup dengan menaikkan kadar faedah.

Apabila kadar faedah dinaikkan, ia akan mengendurkan permintaan barangan kerana orang akan merasakan terlalu tinggi untuk meminjam.

Ketika rakyat pada masa kini bergelut dengan pelbagai isu melibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat, apakah saranan yang boleh dan perlu dilakukan kerajaan bagi meredakan keresahan rakyat berhubung perkara ini?

Dalam hal ini, kerajaan sendiri perlu berbelanja secara berhemah dari segi perbelanjaan pentadbiran.

Sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang memerlukan perbelanjaan besar, mungkin ia perlu dilakukan secara berhemah.
Keduanya, kerajaan boleh menggalakkan rakyat berbelanja secara berhemah dan kedua-dua pihak perlu melakukannya secara serentak.

Apa yang berlaku dari segi permintaan dan penawaran barangan, kebanyakan negara selepas pandemik telah mengamalkan dasar fiskal mengembang dan kerajaan memberi bantuan kewangan tunai, menambah subsidi dan sebagainya kepada rakyat.

Dengan cara itu juga, ia menyebabkan permintaan menjadi tinggi sedangkan penawaran tidak sedemikian. Ini boleh menyebabkan inflasi. Sebagai contoh, harga ayam yang membebankan pengguna.

Untuk itu, satu pihak harus menambah penawaran dan satu pihak lain perlu mengurangkan permintaan bagi mengatasi masalah ini.

Tetapi, sekiranya harga barang naik, rakyat perlu mendapatkan bantuan kerajaan dan kedua-dua ini perlu dilaksanakan secara serentak secara perlahan-lahan.

Saya melihat kerajaan juga telah memberikan bantuan kewangan tunai kepada rakyat. Ini dapat membantu rakyat dalam menghadapi kesan negatif kos kenaikan harga barang.


RAKYAT perlu lebih berhemah ketika berbelanja ketika harga barangan keperluan semakin tinggi pada masa ini. – GAMBAR HIASAN

Pemansuhan subsidi beberapa barangan keperluan termasuk minyak masak berbotol bermula 1 Julai lalu amat meresahkan rakyat. Apakah tindakan kerajaan ini dirasakan tepat dan apa yang perlu dilakukan rakyat dalam hal ini?

Dari segi jangka masa pendek, subsidi harga ini kita nampak kesannya baik kerana harga tidak akan naik buat sementara waktu.
Tetapi, ia memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi, kerana kesan negatif subsidi ini secara keseluruhannya lebih besar daripada faedah diterima rakyat.

Oleh itu, subsidi perlu dimansuhkan secara perlahan-lahan.

Tindakan itu perlu dilakukan dalam usaha kita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan mahukan ekonomi kita lebih efisien dan cekap.

Jika subsidi sentiasa diberikan untuk mengawal harga, ia tidak menunjukkan keadaan ekonomi sebenar.

Dalam hal ini, elok dibenarkan mekanisme pasaran berfungsi.

Ada pihak berpendapat perang Rusia-Ukraine dan perubahan cuaca dunia yang mengurangkan pengeluaran tanaman seperti gandum di beberapa negara pengeluar sebagai faktor utama kenaikan harga barangan. Sejauh mana faktor-faktor ini mempengaruhi harga pasaran barangan keperluan di negara ini?

Selain perang Rusia-Ukraine kenaikan harga barangan di pasaran turut disebabkan faktor-faktor lain.

Ia seperti kenaikan harga minyak, permintaan yang kukuh selepas pembukaan banyak sektor ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Kesemuanya memberi kesan besar kepada pasaran barangan kerana kita mengimport sebahagian besar makanan dan input bahan ternakan seperti ayam.

Apa sahaja berlaku di luar sana sama ada peperangan, kenaikan harga minyak dan sebagainya memberi kesan kepada harga barangan.

Selain itu, nilai ringgit yang rendah juga dilihat sebagai antara faktor kenaikan harga barangan pada masa ini. Mohon penjelasan dalam hal ini tentang sebab utama kejatuhan ringgit di pasaran yang meresahkan banyak pihak?

Memang benar, nilai ringgit kita jatuh dan telah menyebabkan harga barangan import menjadi mahal.

Hal ini berlaku kerana beberapa sebab dan yang pertamanya adalah kerana aliran modal jangka pendek yang keluar kerana kenaikan kadar faedah di negara maju. Negara maju menaikkan kadar faedah untuk menangani inflasi.

Selain itu, kita juga tidak dapat nafikan sentimen di luar mungkin disebabkan ketidakstabilan politik di negara kita.

Ini juga menjadi penyebab kerana negara perlukan pelaburan dan simpanan ke arah pembentukan modal.

Tetapi pemilik modal mungkin berasa arah ekonomi tidak semestinya sama sekiranya berubah kepemimpinan dan kesannya mereka akan tunggu dan lihat.

Adakah kadar inflasi negara pada masa ini masih berada pada paras terkawal berbanding negara-negara lain di dunia dan apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam perkara ini?

Inflasi adalah sesuatu yang kompleks.

Pertama, kita ada inflasi rasmi yang dikesan Bank Negara dan satu lagi inflasi yang dirasai golongan berpendapatan rendah dan sederhana apabila membeli barang keperluan.

Secara kasar, kebanyakan masyarakat dapat berasa kenaikan harga kerana ia melibatkan makanan, pengangkutan. Itu yang dapat dirasakan.

Tetapi kalau secara perbandingan dengan negara lain, kita masih boleh menganggap inflasi masih terkawal sebab kita masih belum mengalami hiper inflasi.

Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kepada dasar yang menyokong peningkatan penawaran termasuk insentif dan kemudahan seperti pinjaman supaya lebih ramai dapat melibatkan diri dalam pengeluaran barangan.

Juga insentif untuk inovasi bagi meningkatkan produktiviti.

Dari segi jangka masa pendek, mungkin kita perlu meningkatkan pengeluaran barangan makanan dan sebagainya.

Tetapi keseluruhannya, kita perlu meningkatkan produktiviti dalam ekonomi sendiri. Ini adalah sesuatu yang perlu dilihat kerana ia ada kaitan dengan kenaikan harga barang.

Kenaikan harga ini akan memberi kesan kepada masyarakat yang sedang berdepan dengan masalah pengangguran, pengurangan gaji dan sebagainya.

Jika harga barang naik dan kadar gaji tidak naik, ini juga menjadi penyebab dan sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Menurut Norma, apa sahaja berlaku di luar sana sama ada peperangan, kenaikan harga minyak dan sebagainya memberi kesan kepada harga barangan.

Dengan gaji yang berada di takuk lama, sedangkan harga barangan makin meningkat saban hari, rakyat sebenarnya tersepit dalam situasi ini. Apa langkah-langkah yang boleh diambil rakyat sekali pengguna, adakah pendekatan ‘mengikat perut’ itu perlu atau nasihat kepada pengguna dalam mendepani keadaan ini?

Saya juga ada menyebutkan tentang perbelanjaan secara berhemah itu adalah satu kemestian.

Jika ada duit lebih daripada gaji atau bantuan tunai kerajaan dan sebagainya, perlu berhemah dalam perbelanjaan.

Bagi jangka masa pendek, rakyat boleh mengurangkan risiko kenaikan harga ini dengan membeli secara berkumpulan kerana mungkin akan mendapat harga lebih baik.

Begitu juga dengan menggunakan kenderaan awam ataupun perkongsian kereta bagi mengurangkan perbelanjaan.

Dari segi jangka masa panjang pula, pada pendapat saya, kita perlu meningkatkan lagi pendidikan atau kesedaran dari segi perbelanjaan yang kita sebut sebagai celik kewangan.

Kita perlu tingkatkan kemahiran dan pemerkasaan dalam kalangan rakyat bagaimana cara untuk menguruskan kewangan peribadi.
Ia akan memberi satu pengetahuan untuk mereka lebih yakin dan dapat mengurus kewangan dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN