fbpx

147 kes lemas dalam enam bulan pertama 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Izram (dua dari kiri) merasmikan kotak peralatan keselamatan (LiSA) di Pantai Teluk Senangin, Lumut hari ini.

LUMUT – Sebanyak 147 kes lemas dengan 68 daripadanya berlaku di sungai telah dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ahmad Izram Osman berkata, sebanyak 37 kes pula dilaporkan berlaku di pantai diikuti 20 kes (tali air), 14 kes (lombong) dan lapan kes di air terjun dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, sebanyak 23 kes dilaporkan di Sarawak iaitu tertinggi di negara ini dengan 21 kes melibatkan lemas di sungai dan dua kes di pantai diikuti Kedah (19 kes) serta Terengganu dan Kelantan masing-masing 14 kes.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 272 kes lemas dilaporkan dengan 117 kes daripadanya berlaku di sungai diikuti tali air (69 kes), laut (58 kes), lombong (16 kes) dan air terjun (12 kes),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pemasangan kotak peralatan keselamatan Life Saving Appliances (LiSA) dan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di Pantai Teluk Senangin dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Izram, setakat ini pihaknya telah memasang LiSA di 33 lokasi tumpuan ramai di seluruh negara sejak 2019 hingga Mei lalu, sebagai salah satu usaha untuk menyelamatkan mangsa lemas dengan cepat.

Beliau menjelaskan bilangan LiSA akan ditambah berdasarkan situasi semasa khususnya di kawasan tumpuan ramai dan berisiko berlaku kejadian lemas.

Selain itu, menurut beliau lagi, pihaknya akan mengadakan lebih banyak kerjasama dengan petugas rekreasi pantai atau lebih dikenali sebagai ‘beach boy’ bagi meningkatkan tahap pengawasan di kawasan pantai.

Ketika ini, jelas beliau, pasukan itu telah mengadakan kerjasama dengan ‘beach boy’ di Kelantan dengan mengambil mereka menjadi anggota bomba sukarela dan program sama sedang diusahakan di Terengganu sebelum dikembangkan ke negeri lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI