fbpx

Ancaman banjir semakin serius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman pemandangan dari udara lokasi banjir di selatan China. -AFP

PARIS  – Hampir satu perempat penduduk dunia terdedah kepada risiko banjir serius dengan penduduk di negara-negara miskin lebih terancam, demikian menurut kajian baharu yang diterbitkan minggu ini.

Banjir disebabkan hujan lebat dan peningkatan paras air laut  telah menjejaskan berjuta-juta orang saban tahun.Bencana itu juga menyebabkan kerosakan kediaman, infrastruktur dan ekonomi bernilai berbilion-bilion dolar. 

Risiko banjir pula semakin meningkat berikutan kenaikan paras air laut disebabkan perubahan iklim global. 

Kajian baharu diterbitkan dalam jurnal Nature Communications itu menganalisis data global tentang risiko banjir dari laut, sungai dan hujan di samping meneliti agihan penduduk dan anggaran kemiskinan daripada Bank Dunia.

Menurutnya, sekitar 1.81 bilion atau 23 peratus penduduk dunia terdedah secara langsung kepada banjir pada kedalaman melebihi 15 sentimeter.

“Situasi ini  mencetuskan risiko signifikan terhadap nyawa dan kehidupan terutamanya kepada kumpulan populasi yang mudah terkesan,” kata kajian tersebut.

Kajian sama menyebut bahawa secara keseluruhan, hampir 90 peratus penduduk terdedah kepada banjir tinggal di negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Tambahnya, bilangan populasi yang hidup dalam kemiskinan dan berdepan risiko banjir serius adalah lebih tinggi daripada jangkaan sebelum ini.

Penyelidik-penyelidik berkenaan berkata, aktiviti ekonomi di seluruh dunia bernilai AS$9.8 bilion (RM43.1 bilion) didapati tertumpu di kawasan-kawasan yang terdedah kepada banjir serius.

Dianggarkan pula, kata mereka, bahawa sebahagian besar populasi yang terdedah kepada banjir atau bersamaan 1.24 bilion orang, tinggal di rantau Asia Selatan dan Asia Tengah dengan China serta India merangkumi satu pertiga daripada angka global.

Pada bulan ini, banjir besar di selatan China menyebabkan lebih 500,000 orang hilang tempat tinggal, manakala di Bangladesh pula seramai tujuh juta mangsa banjir berada dalam keadaan terdesak dan memerlukan bantuan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI