fbpx
SEORANG lelaki Syria meratapi kematian ahli keluarganya berikutan serangan udara di wilayah Aleppo pada 21 Januari 2020. - AFP

Perang Syria ragut 306,887 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMASCUS, SYRIA – Seramai 306,887 orang awam telah terbunuh dalam perang di Syria sejak Mac 2011, iaitu kira-kira 1.5 peratus daripada populasi negara itu sebelum perang bermula, demikian menurut laporan Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut akhbar Arab News, laporan itu diterbitkan berdasarkan lapan sumber maklumat yang meliputi 10 tahun pertama konflik bermula sejak 1 Mac 2011 hingga 31 Mac 2021. 

Secara purata, 83 kematian direkodkan setiap hari dengan 18 daripadanya melibatkan kanak-kanak.

“Angka korban orang awam dalam tempoh 10 tahun yang lalu mewakili 1.5 peratus daripada jumlah penduduk Syria sejak permulaan konflik.

“Ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai kegagalan banyak pihak dalam konflik untuk menghormati norma undang-undang kemanusiaan antarabangsa mengenai perlindungan orang awam,” demikian menurut laporan PBB.

Tambah laporan sama, anggaran itu dianggap mewakili sebahagian daripada jumlah keseluruhan kematian kerana ia hanya melibatkan rakyat yang mati secara langsung akibat perang. 

Bilangan orang awam yang meninggal dunia secara tidak langsung termasuk faktor kekurangan akses kepada makanan atau air dan kematian bukan sivil bagaimanapun tidak diambil kira.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet berkata, analisis terbaharu itu mendedahkan tahap keterukan dan skala konflik dengan lebih jelas.

“Kesan pembunuhan 306,887 orang awam ini akan memberi kesan yang mendalam dan lantang kepada ahli keluarga serta masyarakat di mana mereka berada,” kata beliau.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, PBB memaklumkan bahawa lebih 100 orang dengan kebanyakannya wanita telah dibunuh di kem Al-Hol di timur laut Syria sejak 18 bulan lalu. 

“Kem itu semakin tidak selamat dan kanak-kanak di sana hidup tanpa masa depan,” kata penyelaras penduduk PBB di Syria, Imran Riza.

Al-Hol merupakan sebuah kemudahan tahanan sementara, namun masih menempatkan kira-kira 56,000 orang yang kebanyakannya rakyat Syria dan Iraq yang sebahagian daripada mereka dikatakan mengekalkan hubungan dengan Daesh. 

“Ia adalah tempat yang sangat kejam. Terdapat banyak keganasan berasaskan jantina dan kawasan larangan,” jelas Imran. – Agensi

POPULAR