fbpx

Empat maut gelanggang lawan lembu runtuh di Colombia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan tempat duduk penonton di gelanggang yang runtuh ketika acara lawan lembu diadakan di Espinal, Colombia, semalam. – AFP

BOGOTA, COLOMBIA – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 70 yang lain cedera selepas tempat duduk penonton di sebuah gelanggang lawan lembu di Colombia runtuh, lapor akhbar The Guardian.

Dalam kejadian itu, lembu-lembu turut terlepas dari gelanggang dan mencetuskan situasi panik di jalan-jalan raya. Insiden berlaku Sabtu lalu di Espinal, wilayah Tolima. Bandar Espinal didiami oleh 78,000 penduduk dan terletak sekitar 150 kilo­meter dari ibu kota Colombia, Bogota.

Klip video yang dikongsi di media sosial menunjukkan sebahagian tempat duduk  setinggi tiga tingkat runtuh, menyebabkan berpuluh-puluh penonton terhumban ke tanah.

Akhbar tempatan, El Tiempo memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata, mangsa yang cedera termasuk wanita, lelaki dan kanak-kanak. Punca kemalangan masih belum jelas.

“Terdapat empat individu  terkorban setakat ini (kelmarin) iaitu dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak,” kata Gabenor Wilayah Tolima, Jose Ricardo Orozco kepada stesen Blu Radio.

Pegawai pertahanan awam tempatan, Luis Fernando Velez berkata, pihaknya tidak mengetahui jumlah mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan. Menurutnya, bahagian tempat duduk yang runtuh itu dipenuhi dengan penonton. 

Acara lawan lembu itu merupakan sebahagian daripada pera­yaan tempatan dikenali sebagai festival San Pedro dan amat po­pular di rantau itu.

Orozco berkata, kerajaan tempatan akan mengharamkan acara lawan lembu yang dikenali sebagai corralejas itu di mana orang awam turut memasuki gelanggang  untuk konfrontasi dengan lembu. Menurutnya, acara tersebut berbahaya dan menggalakkan penderaan haiwan.

Seorang mangsa lain meninggal dunia awal bulan ini selepas ditanduk seekor lembu jantan semasa acara lawan lembu di bandar Repelon. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI