fbpx

Dana RM65 juta bukan hasil aktiviti haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta yang didakwa diterimanya dan diserahkan kepada sebuah firma guaman, Lewis & Co. untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap bukanlah hasil daripada aktiviti haram.

Sebaliknya, Ahmad Zahid sekali lagi menyatakan wang RM65 juta itu adalah hasil sumbangan dan derma daripada individu serta badan korporat kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskannya bagi tujuan amal jariah.

Beliau juga menyatakan tidak pernah mengarahkan Tetuan Lewis & Co, peguam atau pekerjanya termasuk kerani firma guaman, B. Sothilechmy (saksi pendakwaan ke-85) untuk mendepositkan dana berkenaan ke dalam akaun simpanan tetap.

“Saya menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi bahawa simpanan tetap itu adalah daripada pengeluaran akaun pelanggan,” katanya.

Ujarnya, ketika melantik Tetuan Lewis & Co. untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi, Muralidharan pernah memberitahunya bahawa  akan menguruskan dana itu dengan membuka akaun simpanan tetap supaya yayasan dapat memperoleh kadar faedah.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung lagi esok.

Sementara itu dalam prosiding hari ini, Ahmad Zahid memohon agar perbicaraan kes pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya ditangguhkan sehingga rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan penyataan saksi.

Peguam bela, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, pihaknya sudah memfailkan notis usul permohonan pada 23 Jun lalu dan memohon agar ia didengar secepat mungkin.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob mengesahkan pihaknya telah menerima sesalinan permohonan tersebut melalui e-mel pada Sabtu lalu dan memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk mendengar permohonan penangguhan itu.

Pada 9 Mei lalu, mahkamah menolak permohonan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi termasuk rakaman percakapan adiknya Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan anak perempuannya, Nurulhidayah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada ketika ini, Mahkamah Tinggi di sini masih lagi mendengar kenyataan bela diri Ahmad Zahid secara bersumpah sejak 13 April lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI