fbpx

Tuduhan terhadap saya tidak berasas, bersifat fitnah – Idris Khan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS (kiri) menafikan semua tuduhan yang dilemparkan kepadanya baru-baru ini bersifat fitnah dan akan melawannya kembali.

PETALING JAYA – Pelakon, Idris Khan menganggap tuduhan sebagai tidak profesional yang didakwa penerbit, Datuk A Aida terhadapnya dalam satu sidang akhbar kelmarin adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.

Idris, 34 dalam kenyataan yang dikongsi menerusi Instagram menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran sekaligus membela dirinya.

“Beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang akhbar itu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.

“Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan,” katanya.

Pada masa sama dia mengakui sangat terkejut dan berasa hairan berdepan dakwaan sebegitu namun berterima kasih kerana mendapat segala bentuk sokongan yang positif.

“Saya ingin mengucapkan alhamdulillah dan berterima kasih atas segala sokongan, dorongan dan kata-kata yang baik daripada anda semua.

“Saya merasa rendah diri dan terharu menerima mesej bersifat kasih sayang dan prihatin anda,” katanya yang terbabit dalam dunia lakonan pada 2015.

Pemilik nama sebenar Idris Khan Abdul Ghaffar Khan itu turut menegaskan dirinya menentang sebarang bentuk ancaman serta buli dalam masyarakat terutama membabitkan industri hiburan.

“Terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut supaya mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.

“Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya.

“Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Kelmarin, A Aida menyifatkan tindakan Idris dan seorang lagi pelakon, Amelia Henderson menarik diri di saat akhir daripada menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod terbitan syarikatnya, A Aida Production sebagai tidak profesional dan mengarut.

Aida berkata, pihaknya memfailkan saman terhadap kedua-dua pelakon tersebut atas dakwaan melanggar kontrak drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali yang sepatutnya memulakan penggambaran pada 16 Jun lalu.

Namun Idris dan Amelia yang menjadi pilihan sebagai teraju utama penerbitan menarik diri di saat akhir pada malam 15 Jun hingga mengakibatkan produksi kerugian kira-kira RM150,000.

Peguam A Aida dari tetuan Zulpadli & Edham, Ashmadi Othman menyatakan mereka sudah menghantar surat saman kepada dua pelakon berkenaan pada Rabu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI