BALING – Kalangan guru tabika dan taska merayu pihak-pihak berkaitan agar memberi perhatian mengenai gaji atau elaun mereka yang tidak lagi sesuai dengan bebanan dan kos tanggungan hidup semasa.
Seorang pembantu Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Fazilah Che Merat, 50, yang berkata, elaun sebanyak RM500 sebulan tidak mungkin cukup untuk menyara kehidupan pada hari ini.
“Saya terima elaun RM500 setiap bulan dan jumlah itu memang tidak cukup untuk beli barang dapur dan keperluan lain yang semakin mahal.
“Walaupun saya hanya pembantu tadika, saya juga perlu jaga segala keperluan budak-budak seperti makan minum, kebersihan dan sebagainya sepanjang hari,” katanya di sini semalam.
Berita berkaitan: Guru tadika terseksa, kerja macam buruh kasar
Ujarnya, dia turut membantu menguruskan keperluan termasuk mengambil alih tugas mengajar jika guru tidak hadir kerana cuti sakit.
“Kita harap elaun pembantu tadika dapat dinaikkan lagi menjadi RM800 sebulan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan rata-rata gaji guru taska sekitar RM700 dan tidak setimpal dalam keadaan sara hidup sekarang ini.
Gaji tidak setimpal itu membuatkan mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menampung kehidupan harian.
Berita berkaitan: Gaji macam tahun 1990, terpaksa buat kerja sampingan
Sementara itu, seorang guru Tadika Pintar Gemilang, Noraziran Md. Rani berkata, kenaikan gajinya daripada RM900 kepada RM1,100 sedikit sebanyak memberikan kelegaan.
“Sebenarnya gaji sebanyak ini masih tidak cukup untuk tampung keperluan hidup pekerja, apatah lagi bagi pekerja yang mempunyai keluarga sendiri memandangkan kos sara hidup semakin tinggi dari hari ke hari.
“Namun bagi saya yang bujang dan tinggal di luar bandar bersama ibu bapa, ia masih boleh diterima kerana tiada perbelanjaan lain seperti sewa rumah, kos kenderaan dan bil utiliti.
Berita berkaitan: Hanya mampu bayar gaji RM600 hingga RM1,200 sebulan
“Gaji itu hanya sekadar cukup makan pakai sahaja, hendak berlebih-lebih sememangnya tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Daerah Baling, Siti Hawa Osman, 56, berkata, pembayaran gaji bagi guru tadika swasta dan kerajaan amat berbeza.
“Gaji guru tadika swasta kebanyakannya mengikut bilangan pelajar dan guru yang dikehendaki mengajar budak-budak dalam premis itu,” ujarnya.














