PETALING JAYA – Kenaikan harga pelbagai barangan keperluan ketika ini memaksa sebilangan guru tadika membuat kerja sampingan demi menampung kos perbelanjaan keluarga masing-masing.
Seorang guru tadika, Syafarina di Pulau Pinang, 34, berkata, dengan gaji sebanyak RM800 sebulan yang diterima ketika ini, dia merasakan perlu mencari pendapatan lain bagi memastikan perbelanjaan keluarganya tidak terjejas
“Sejak suami meninggal tahun lalu, memang saya kena pikul tugas cari pendapatan buat keluarga.
“Saya perlu buat banyak kerja. Saya menjual kuih-muih dan pada setiap hujung minggu akan berniaga air di taman awam.
“Gaji kerja tetap ini memang tidak cukup, gaji macam zaman 1990-an, sedangkan tugas guru taska ini sama macam guru-guru di sekolah rendah dan menengah. Namun, kenapa gaji kami tak sama dengan mereka?” soalnya.
Bagi seorang lagi guru tadika swasta dari Baling, Kedah dikenali sebagai Sofia, 24, dia kini terpaksa menerima hakikat dengan kadar pendapatan bulanan yang diperoleh sebanyak RM500 sebulan.
“Saya masih baharu dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Pendapatan yang diperoleh hanya cukup sekadar dibelanja untuk perbelajaan minyak motor berulang-alik dari rumah ke tadika, bayaran utiliti untuk telefon bimbit, simpanan kecemasan RM50 sebulan dan bakinya untuk perbelanjaan harian.
“Saya masih ada keyakinan untuk bekerja walaupun kadang-kadang berada dalam keadaan sudah nyawa-nyawa ikan disebabkan saya ketika ini menumpang di rumah ibu saudara,” katanya.
Tambah Sofia, dia juga tidak mampu lagi untuk menyewa bilik atau rumah di Pulau Pinang kerana kadar sewanya melebihi separuh atau sebulan gaji yang diterima. -KOSMO! ONLINE














