PETALING JAYA – Ramai guru tadika melahirkan rungutan selepas gaji yang diterima mereka pada setiap bulan dianggap sebagai tidak setimpal dengan beban kerja selama 11 jam sehari yang terpaksa ditanggung untuk membimbing kanak-kanak.
Malah, ada dalam kalangan guru tadika yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda mengakui kerjaya mereka ketika ini tidak ubah seperti seorang buruh kasar apabila hanya menerima gaji sekitar RM700 hingga RM1,200 sebulan.
Seorang guru tadika di Lembah Klang dikenali sebagai Nurizan, 28, berkata, amanah yang dipikul sebagai seorang pendidik sepertinya seolah-olah dipandang sepi dan tidak dihiraukan oleh pihak di luar sana.
“Kerja lain ada yang telah menikmati kenaikan sehingga RM1,500 sebulan. Lebih penting, kebajikan mereka juga dibela, tetapi kami di sini (tadika), tiada siapa yang peduli.
“Bukan apa, tenaga kami dikerah lebih 11 jam sehari, belum dikira ibu bapa yang ambil anak lambat di tadika, dari pukul 7 pagi bekerja sampai matahari terbenam baru boleh pulang,” luahnya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu, gaji yang diterima langsung tidak sepadan dengan tahap pendidikan yang dikuasainya serta tugas kerja sebagai seorang guru tadika.
“Kos sara hidup makin meningkat terutama di bandar besar, harga barang semua naik, gaji kami RM1 pun tak dinaikkan, saya dah bekerja empat tahun selepas tamat pengajian peringkat ijazah universiti awam.
“Gaji saya tetap RM1,000 sehingga sekarang walaupun kerajaan telah umumkan gaji minimum. Pihak pengurusan tidak melakukan apa-apa,” ujarnya.
Di George Town, Pulau Pinang, rata-rata guru tadika di negeri ini mendedahkan kesukaran yang ditanggung mereka ekoran menerima gaji ‘ciput’ ketika negara berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurut mereka, kadar gaji bulanan guru tadika swasta kini bergantung kepada kemahiran dan pengalaman termasuk yuran bulanan yang dikenakan sekolah atau pusat berkenaan.
Contohnya, pendapatan guru tadika swasta adalah tertakluk kepada yuran persekolahan sesebuah tadika dengan minimum yang dikenakan seorang murid sekitar RM150 sebulan.
Seorang guru tadika, Norhidayah, 39, berkata, gaji yang diperolehnya iaitu RM800 sebulan ketika tidak setimpal dengan tugasan yang dipikul meskipun tempoh pengajaran hanya empat jam sehari.
“Bukan senang nak wujudkan suasana pembelajaran selesa kepada murid-murid kecil terutama yang berusia empat tahun.
“Kami juga perlu membuat ringkasan pengajaran untuk mereka selain perlu kreatif menggunakan pendekatan memujuk atau menarik minat mereka untuk datang ke sekolah,” katanya.
Menurutnya, kadar gaji minimum yang diperoleh setelah hampir 10 tahun sebagai pendidik juga tidak mampu untuk membantu menampung bebanan yang ditanggung keluarganya ketika ini.
“Pendapatan saya mampu dibelanjakan untuk tabung wang simpanan pendidikan anak iaitu RM90 sebulan, RM300 diberi kepada ibu, RM75 untuk wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan selebihnya untuk diri sendiri.
“Baki gaji tidak cukup membantu suami menguruskan hal perbelanjaan dapur, anak-anak serta pembelian barangan,” ujarnya lagi.
Di Sungai Petani, Kedah, seorang guru pusat pendidikan pra sekolah swasta dikenali sebagai Nur Adlina, 25, berkata, kenaikan harga barang dan gaji bulanan yang rendah menyebabkan kehidupannya semakin tertekan.
Adlina yang masih bujang berkata, pendapatannya sebagai seorang guru di pusat pendidikan tersebut hanyalah RM450 sebulan.
“Gaji saya sebagai guru kekal RM450 sejak tiga tahun lalu, tetapi harga barang naik hampir setiap bulan,” ujarnya.
Kata Adlina, pendapatannya itu memang tidak cukup untuk menampung keperluan diri dan dia kini sedang berusaha mencari pekerjaan lain.
“Dengan gaji kecil itu saya akan memperuntukkan sebanyak RM50 untuk diberi kepada ayah, RM50 untuk barang dapur dan baki RM350 untuk perbelanjaan harian,” katanya. -KOSMO! ONLINE















