fbpx

Rasuah ujian GDL : Lima individu termasuk pegawai penguat kuasa direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima individu termasuk pegawai penguat kuasa agensi kerajaan direman di Mahkamah Khas Seremban di sini hari ini kerana disyaki terlibat dengan rasuah bagi meluluskan ujian memandu GDL menerusi institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan. FOTO : MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Lima individu termasuk pegawai penguat kuasa agensi kerajaan direman di Mahkamah Khas Seremban di sini hari ini kerana disyaki terlibat dengan rasuah bagi meluluskan ujian kelas memandu kenderaan perdagangan (GDL) menerusi institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Lima individu itu merupakan antara enam orang yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.

Selain dua pegawai penguat kuasa tersebut, empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pekerja di sebuah institusi memandu.

Perintah reman terhadap lima individu itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Khairunnisa Kasa selepas membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM bermula hari ini.

Empat daripada mereka direman selama lima hari, seorang direman tiga hari, manakala seorang lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan faktor kesihatan.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 65 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam.

Sumber berkata, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 hingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI