fbpx

Industri pelancongan bersedia hadapi gelombang baharu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tengah) melancarkan pelan pemulihan pelancongan itu

SHAH ALAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersiap sedia menghadapi gelombang baharu Covid-19 yang dijangka lebih awal berbanding tempoh dua atau tiga bulan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantau perkembangan terkini mengenai pandemik itu.

Kata beliau, kementerian bersama pemain industri pelancongan bersedia memikirkan tindakan lanjut sekiranya gelombang itu berlaku kelak.

“MOTAC sentiasa kekal mematuhi semua arahan dan bimbingan daripada KKM mengenai perkara berkenaan.

“Kita bersiap sedia menghadapi gelombang itu dan berharap industri pelancongan negara terus dilindungi,” katanya selepas melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 bagi Kluster Pelancongan Minat Khas di Wet World Water Park di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan jangkaan awal gelombang baharu itu bukan mahu menimbulkan panik rakyat namun mengambil kira keperluan langkah pencegahan bagi setiap aspek.

Ia berdasarkan peningkatan lebih 2,000 kes dilaporkan dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini dengan dua kluster baharu dianggap membimbangkan iaitu kluster pendidikan dan pengajian tinggi.

Sementara itu, Nancy berkata, Pelan Pemulihan Pelancongan berkenaan merupakan kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) yang melibatkan insentif diskaun, baucar dan rebat kepada rakyat.

“Tiga inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada 54,000 pelbagai pengguna menerusi pakej pelancongan dengan sasaran jualan berjumlah RM6.7 juta.

“Pada masa sama, pelan pemulihan itu diharapkan membantu penggiat industri untuk terus berdaya saing dalam menyemarakkan kembali industri pelancongan domestik, ” katanya.

Tambah beliau, Kluster Pelancongan Minat Khas itu merangkumi segmen taman tema, selam skuba dan inap desa
manakala maklumat lanjut tawaran pakej boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI