fbpx

20 peruncit dikesan cuba sorok minyak, jual mahal selepas 1 Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norena (kanan) pada Sesi Walkabout bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (tengah) di Pasar Awam Bachang, Melaka, hari ini

MELAKA – Kira-kira 20 peruncit di negeri ini berada di bawah pemerhatian pihak berkuasa selepas dipercayai cuba menyorok bekalan minyak susulan pemansuhan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol bermula 1 Julai ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, lebih 10 buah pasar raya dan kedai runcit yang dikesan adalah di Melaka Tengah dan selebihnya di Jasin dan Alor Gajah.

Katanya, pemantauan itu telah dilakukan di bawah Op Ayam, Telur dan Minyak Masak (Op ATM) sejak awal bulan ini dan mengesan tindakan peniaga yang mengawal jualan minyak masak botol bagi mendapatkan keuntungan berganda selepas 1 Julai.

“Kini terdapat 20 buah premis ‘panas’ di bawah pemerhatian kami kerana kita mengesyaki pemilik sedang cuba mengawal jualan bekalan minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2kilogram (kg), 3kg dan 5kg.

“Kita percaya peniaga-peniaga ini akan menjual semua bekalan yang dikumpul selepas 1 Julai nanti pada harga jauh lebih mahal atau dua kali ganda berbanding harga yang dibeli mereka ketika ia masih bersubsidi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Walkabout bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Pasar Awam Bachang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang awal tahun ini sebanyak 235 kes telah direkodkan dengan 161 daripadanya dikenakan tindakan di bawah perundangan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Kita juga telah merekodkan sejumlah 344 aduan, 111 adalah berkaitan harga, transaksi dalam talian (93), perkhidmatan mengelirukan (77), bengkel kenderaan bermotor (20), barang kawalan (15) dan 21 aduan kategori pelbagai.

“Sebanyak 161 notis telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mengesan sebarang kemungkinan pencatutan dilakukan,” katanya.

Katanya, KPDNHEP akan sentiasa melakukan pemantauan termasuk penguat kuasa preman bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku di semua peringkat perniagaan.

Terdahulu, Selasa lalu kerajaan mengumumkan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI