KUALA TERENGGANU – Gelang tangan emas pelbagai jenis yang setiap satu bernilai mencecah puluhan ribu ringgit menjadi barang kemas yang paling laku di kedai-kedai emas di sekitar Terengganu ketika ini kerana ia sesuai digayakan setiap hari.
Ketika ini, harga emas tidak termasuk upah sekitar RM248 segram berbanding RM265 segram sebelum ini.
Seorang pengusaha kedai emas, Myriana Zakaria berkata, permintaan terhadap koleksi perhiasan tersebut meningkat berikutan penurunan harga emas di pasaran dunia.
“Gelang tangan seperti pulut dakap adalah antara barang kemas yang laku keras bukan sahaja dalam kalangan peminat emas tempatan, malah seluruh negara yang berkunjung ke kedai kami.
“Mungkin kerana gelang tangan sesuai dipakai setiap masa dan mudah digayakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kedai emasnya di Pasar Kedai Payang di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau mengakui sebahagian besar pelanggan membeli emas sebagai instrumen pelaburan berikutan kejatuhan harganya sejak beberapa minggu lalu.
“Kita sedia maklum emas adalah pelaburan menguntungkan kerana berdaya tahan tinggi terhadap inflasi, malah harga tidak pernah turun mendadak sejak puluhan tahun lalu,” ujarnya.
Myriana juga tidak menolak kemungkinan promosi agresif di media sosial turut menjadi pemangkin minat orang ramai terhadap emas sejak akhir-akhir ini.

Seorang pengusaha kedai emas lain, Zakaria Yusoff pula berkata, kejatuhan harga emas dirasakan cuma bersifat sementara.
Menurutnya, berdasarkan situasi global, emas dijangka kembali melonjak dalam masa terdekat.
“Sehubungan itu, saya nasihatkan kepada peminat emas yang berkemampuan supaya ambil peluang ini kerana tidak selamanya emas akan berada di paras bawah,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Nurul Ain Ahmad Razali, 37, berkata, dia gemar menyimpan emas yang lebih berdaya tahan terhadap tekanan inflasi.
“Saya memang peminat barang kemas dan sentiasa mengikuti perkembangan harga emas semasa.
“Dahulu, harga emas mencecah RM265 segram tidak termasuk upah. Penurunan harga pada masa ini memang saya tidak akan lepaskan peluang untuk menambah koleksi emas,” katanya.
Nurul Ain yang juga kakitangan swasta berkata, emas bukan sahaja sebagai barang perhiasan, malah boleh dijadikan dana kecemasan jika wang tunai diperlukan segera.
Seorang lagi pelanggan, Suzilawati Wahid, 41, pula berkata, menambah koleksi barangan kemas merupakan instrumen pelaburan keluarganya sejak turun-temurun yang diajar oleh nenek dan ibunya.
“Kalau mahu wang tunai segera kerana terdesak atau mahu menambah modal perniagaan, sebahagian koleksi barangan kemas saya akan dipajak.
“Saya biasanya akan tebus semula, tetapi kadang-kala menjualnya terus sekiranya harga emas tinggi,” ujarnya.














