fbpx

AS mahu kurangkan kandungan nikotin dalam rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cadangan mengurangkan paras nikotin dalam rokok bertujuan mengurangkan ketagihan dan kematian di AS. – AFP

WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Joe Biden mencadangkan peraturan baharu yang memerlukan syarikat-syarikat tembakau menurunkan paras nikotin dalam rokok sebagai usaha untuk mengurangkan ketagihan dan kematian akibat merokok, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Inisiatif itu diumumkan sebagai sebahagian daripada senarai tindakan pengawalseliaan persekutuan yang dirancang oleh White House dan dikeluarkan dua kali setahun.

“Peraturan ini adalah piawaian produk tembakau yang akan menetapkan paras nikotin maksimum dalam rokok serta produk-produk tembakau siap tertentu,” kata White House.

Nikotin merupakan sejenis bahan kimia yang mencetuskan rasa seronok serta menjadikan seseorang itu ketagih kepada aktiviti merokok dan mengunyah tembakau, menggunakan vape dan produk-produk berasaskan tembakau lain. 

Sementara itu, Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) berkata, ia merancang untuk menggariskan peraturan tersebut secara rasmi pada Mei 2023, demikian menurut akhbar Wall Street Journal.

Bagaimanapun, dasar itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk berkuat kuasa. Ini kerana FDA perlu mendapatkan ulasan awam selepas mengeluarkan peraturan yang dicadangkan, di samping menjangkakan tindak balas dan tindakan undang-undang daripada pengeluar-pengeluar rokok.

“Memaksa syarikat-syarikat untuk mengurangkan kandungan nikotin kepada tahap minimum akan menyukarkan penjualan rokok tetapi sesuatu yang bermakna untuk ditunggu,” kata pakar-pakar kepada akhbar The Washington Post.

Merokok kekal sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah di Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Kira-kira 480,000 kematian setahun di AS adalah berpunca daripada merokok dengan 13.7 peratus daripada populasi dewasa disenaraikan sebagai perokok setakat 2018, lapor CDC.

Sekiranya peraturan untuk mengurangkan tahap nikotin dilaksanakan, lebih lima juta orang dijangka berhenti merokok dalam masa setahun, demikian anggaran New England Journal of Medicine. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI