fbpx

90,000 pelajar tiada SPM, di mana mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. YUNUS YAKKUB,
WAKIL KOSMO! SELANGOR

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan dengan ada yang memperoleh kecemerlangan dan sebaliknya.

Jika dahulu peluang melanjutkan pelajaran kepada mereka yang gagal ini tipis, namun kini tidak lagi.

Di Malaysia, terdapat 1,295 buah institusi dan penyedia Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termasuk 640 institusi TVET awam di bawah seliaan 11 kementerian.

Namun menjadi perdebatan apabila baru-baru ini tular seorang pelajar seperti berbangga menayangkan keputusan dengan hampir keseluruhan mata pelajarannya gagal di aplikasi TikTok.

Menurut Pakar Pendidikan dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, tindakan remaja itu le­bih kepada ‘rebel’ atau memberontak dengan mempunyai persepsi negatif pada pendidikan.

“Sebenarnya, mereka sebagai anak-anak pun secara logiknya bersedih dengan keputusan itu.

“Namun tindakan itu lebih kepada perasaan remaja dan pemikiran singkat meraih perhatian,” kata­nya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun, beliau me­negaskan apa yang menjadi kebimbangan apabila dianggarkan terdapat 90,000 pelajar yang tidak mempunyai sijil SPM ke­rana telah berhenti sekolah dan gagal dalam subjek Bahasa Me­layu serta Sejarah.

“SPM ini umpama surat bera­nak. Nak belajar tidak boleh se­bab tiada sijil SPM sekalipun hendak memohon di institut ke­mahiran kerana sijil peperiksaan itu penting walaupun keputusan mereka rendah.

“Nak buat kerja tiada kemahiran kerana berusia 17 dan 18 tahun dan akhirnya jadi kelompok tercicir dengan banyak berpelesiran sehingga terdedah dengan isu moral, sosial,” katanya.

Jelas Anuar, Kementerian Pendidikan (KPM) masih tidak mempunyai kaedah penyelesai­an yang proaktif dalam membantu golongan tersebut.

Beliau mengakui peredaran zaman menunjukkan bahawa TVET akan menawarkan peluang pekerjaan lebih banyak.

“Kalau tahun 70 dan 80an, memang kita banyak belajar dalam bidang akademik seperti sains sosial, sejarah atau sastera untuk mengisi jawatan pentadbiran. Namun, bermula tahun 2010 didapati jawatan pentadbiran sudah penuh.

“Jadi pada saya, TVET patut dipromosikan dan tidak timbul persaingan dengan universiti berunsurkan akademik kini giat menawarkan kursus keusa­hawanan kepada pelajarnya agar mampu membuka peluang pekerjaan nanti,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Moha­mad Rizan Hassan berharap pro­gram Dermasiswa B40 TVET diperluaskan kepada kementerian lain yang menawarkan program TVET.

“Ini penting supaya masya­rakat terkesan dan mereka yang sedang bangkit dalam fasa endemik berupaya untuk mengutamakan latihan berbanding memasuki alam pekerjaan dengan kelayakan akademik rendah.

“Kalau tengok pada era selepas pandemik, banyak syarikat mengutamakan mereka yang ada kemahiran. Sehubungan itu wajar institusi pendidikan atau kemahiran memfokuskan kursus terkini bagi memenuhi keperluan industri,” ujarnya.

Mohamad Rizan turut memaklumkan perlunya pendekatan baharu dengan memberi peluang menimba ilmu dan kemahiran dalam tempoh tertentu dengan pengiktirafan dan sijil susulan sebahagian daripada 400,000 calon SPM tahun lalu akan memilih terus untuk be­kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI