fbpx

9 laluan baharu perkhidmatan bas percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fazli ketika ketika menjawab soalan Muszaide Makmor (BN-Sedili) berhubung inisiatif kerajaan Johor untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bakal menambah sembilan laluan baharu melibatkan perkhidmatan bas percuma kepada warganegara iaitu Bas Muafakat Johor (BMJ) dengan penglibatan kos bernilai RM3.84 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bagaimanapun berkata, sembilan laluan tambahan itu masih dalam proses dimuktamadkan klausa dan juga perjanjian perkhidmatan dari kerajaan negeri ke Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

“Salah satu daripada cadangan laluan itu melibatkan laluan dari Bandar Kota Tinggi ke Tanjung Sedili dengan cadangan kekerapan sebanyak empat kali sehari perjalanan.

“Perkhidmatan BMJ telah dilaksanakan bermula 2016 yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan memberi kemudahan serta meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di laluan sosial yang telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muszaide Makmor (BN-Sedili) berhubung inisiatif kerajaan Johor untuk memberi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap 55,203 ekor anjing liar melalui pelbagai operasi yang telah dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun kontraktor yang dilantik agensi berkenaan sejak 2017 hingga Mei 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, antara daerah yang banyak merekodkan tindakan adalah Kulai dengan 1,395 ekor anjing; Johor Bahru (1,214 ekor); Pasir Gudang (951 ekor) dan Kota Tinggi (472 ekor).

Menurut beliau, antara inisiatif yang dilaksana PBT untuk menyelesaikan isu berkenaan termasuklah ‘dog adoption’ dan program kembiri.

“PBT turut menggalakkan proses pengkembirian anjing oleh pemilik dengan memberi nilai kadar lesen
sebanyak RM10 hingga RM40 kepada anjing yang dikembiri berbanding RM30 hingga RM60 bagi anjing yang tidak dikembiri.

“Kadar lesen yang berbeza jelas menunjukkan bahawa langkah PBT di dalam menggalakkan kembiri bagi mengawal populasi anjing liar di kawasan kediaman,” katanya.

Tambah Raven Kumar, Jabatan Perhilitan Johor telah menyelesaikan sejumlah 27,390 konflik melibatkan manusia dan kera yang dilaporkan berlaku di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun lalu.

“Tiada tindakan spesifik yang boleh digunakan untuk menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar namun tindakan paling berkesan yang digunakan oleh Jabatan ialah pemasangan perangkap kera,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI