KLANG – Tindakan seorang pemuda melarikan diri selepas merempuh seorang penunggang motosikal warga emas hingga maut berakhir apabila dia dicekup kira-kira tiga jam selepas kejadian di Lorong Haji Musran, Kampung Rantau Panjang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 malam mangsa lelaki berusia 79 tahun maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Pemandu kereta berusia 20 tahun terbabit kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira pukul 2 pagi tadi selepas polis mengesan pemilik kenderaan tersebut di sebuah rumah di Telok Gadong.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila apabila kereta dipandu suspek dari dari Jalan Shahpadu Lama menghala ke Jalan Rantau Panjang hilang kawalan dan memasuki ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.
Katanya, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, detik-detik kemalangan tersebut tular di media sosial menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai runcit berdurasi lebih seminit. – KOSMO! ONLINE














