fbpx

Tren Shuttle Tebrau kembali beroperasi hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ membunyikan lonceng sebagai simbolik pelepasan keretapi ke Singapura sambil diperhatikan oleh Ka Siong sempena Majlis Flag-off Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Singapura di Stesen JB Sentral, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Tidak sampai seminggu, hampir 70,000 tiket bagi perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, di sini ke Stesen Woodlands, Singapura terjual sejak 13 Jun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu kembali beroperasi selepas lebih dua tahun terhenti disebabkan pandemik Covid-19 serta penutupan sempadan negara.

“Setakat Jumaat lalu, sebanyak 68,070 tiket telah dijual dan penjualan tiket lebih awal ini dapat membantu pengguna merancang perjalanan mereka khususnya pekerja Malaysia yang berulang-alik berkerja di Singapura.

“Setiap hari ada 31 trip atau perjalanan Shuttle Tebrau yang bermula jam 5 pagi sehingga 11.45 malam, dengan 13 perjalanan dari Malaysia-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau di JB Sentral, di sini hari ini.

Ka Siong berkata, perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau ini mampu menampung kapasiti maksimum seramai 320 penumpang setiap perjalanan dan dijangkakan seramai 7,000 penumpang sehari akan menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, penyambungan semula perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia yang berulang alik bekerja ke republik itu.

“Melalui pengoperasian semula perkhidmatan Shuttle Tebrau ini, ia juga dapat mengurangkan kadar kesesakan trafik di Tambak Johor dan Kompleks Imigresen,Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) terutama pada waktu puncak,” katanya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI