Pada hari Jumaat, kawasan kebun getah seluas dua hektar di Guntong, Pasir Puteh, Kelantan itu tidak seperti hari-hari lain apabila ia menjadi tumpuan orang ramai.
Lazimnya, pada kebanyakan hari, kebun getah yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari bandar Pasir Puteh itu sekadar menjadi tempat penduduk setempat di kampung berkenaan menoreh getah, namun suasananya berubah apabila tiba pagi Jumaat apabila ia menjadi lokasi untuk urusan jual beli makanan atau keperluan harian.
Pasar Pagi Guntong atau dikenali sebagai Pasar Pendekar oleh masyarakat tempatan mula dibuka sejak lebih 100 tahun lalu dan kini dianggarkan seramai 200 peniaga berkumpul dan berniaga di situ.
Uniknya mengenai pasar pagi itu adalah operasi urus niaga dijalankan di dalam kebun getah yang bermula seawal pukul 6 pagi setiap Jumaat.
Pelbagai barangan dijual di pasar itu antaranya barangan keperluan harian, hasil laut, pakaian, herba, keris dan lain-lain. Bahkan, dikatakan juga pasar itu menjual bahan atau ramuan yang sukar didapati di tempat-tempat lain seperti herba buah kulim gunung dan belalang sawah.

SITI NORHASHIMA (kiri) melayani orang ramai yang mengunjungi gerai jualan herbanya.
Pasar Pagi Guntong juga menjadi tempat orang ramai menikmati pelbagai jenis sarapan pagi terutama menu tradisi Kelantan seperti nasi dagang, nasi berlauk, nasi kerabu dan kuih-muih.
Pembekal herba kampung, Siti Norhashima Ismail, 31, berkata, dia bergerak ke Pasar Pagi Guntong untuk berniaga seawal pukul 5 pagi dari rumahnya di Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas setiap hari Jumaat.
Menurutnya, dia merupakan menyambung warisan perniagaan bapanya yang menjual pelbagai jenis herba perubatan tradisional di situ sejak 30 tahun lalu.
Katanya, dia perlu bergerak awal ke pasar itu kerana perjalanan dari Pasir Mas memakan masa selama 40 minit dan perlu mengambil tempat lebih awal sebelum ketibaan peniaga lain.
“Sepanjang berniaga di Pasar Pagi Guntong, saya mempunyai pelanggan tetap. Antara herba yang dijual ialah buah kulim gunung, herba zuriat, buah belimbing bukit, manjakani, buah gorek, tunjuk langit, nanas batu, sepang kederang dan madu asli tualang,” katanya ketika ditemui Panorama di Pasar Pagi Guntong.
Menurut Siti Norhashima, suasana berniaga di pasar pagi itu amat santai meskipun kadangkala sesak dengan pengunjung kerana waktu operasinya terhad sehingga pukul 12 tengah hari atau sebelum solat Jumaat.
Katanya, meskipun berniaga di dalam kebun getah, pelanggan yang mengetahui khasiat herba tradisional akan tetap datang dari pelosok negeri Kelantan atau luar negeri ini.
“Kebanyakan herba ini saya beli daripada Orang Asli di negeri ini dan Pahang kerana ia merupakan barangan hutan yang sukar diperoleh.
“Ramai dalam kalangan pelanggan saya sanggup datang ke kebun getah ini pada hari Jumaat semata-mata untuk membeli herba-herba untuk tujuan perubatan atau jamu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Guntong, Abdul Rahim Deraman, 56, berkata, setakat ini, lebih 200 peniaga berniaga di Pasar Pagi Guntong dan kebanyakan daripada mereka merupakan penyambung legasi perniagaan keluarga masing-masing.

Menurutnya yang juga pemilik tapak pasar itu berkata, pasar tersebut beroperasi di tengah perkampungan penduduk di mukim Wakaf Lanas, Pasir Puteh sejak lebih 100 tahun lalu.
Katanya, semasa pasar itu mula beroperasi, peniaga-peniaga hanya duduk bersila dan menjual barangan mereka di atas tikar.
“Selari peredaran zaman, peniaga di sini menggunakan meja lipat untuk meletakkan barangan jualan dan payung besar sama seperti yang digunakan di pasar tempat-tempat lain.
“Selaku individu yang bertanggungjawab terhadap kawasan ini, saya tidak menetapkan kriteria atau jenis perniagaan kepada peniaga.
Peniaga boleh jual makanan dan pakaian pada harga yang berpatutan,” katanya.
Cerita Abdul Rahim, Pasar Pagi Guntong pada asalnya dimulakan di sekitar Surau Ahmadiah di kampung berkenaan dengan kawasan seluas 0.8 hektar sebelum operasinya diperluas ke kebun getah tepi surau menjadikan keluasannya dua hektar pada awal tahun 1990-an.
Katanya, ramai peniaga dari Besut, Terengganu turut berminat untuk berniaga di bawah pokok getah di kampung tempat kelahirannya itu.
“Mengikut cerita keluarga saya, kawasan perniagaan di kebun getah ini dibuka oleh nenek moyang kami. Ketika itu, seramai 20 peniaga datang membuka gerai semasa datang mendengar ceramah agama mingguan pada hari Jumaat di Surau Ahmadiah.
“Disebabkan ramai yang hadir mendengar ceramah, bilangan peniaga juga kian bertambah dan kami sekeluarga ambil keputusan untuk memperbesar kawasan operasi perniagaan,” katanya.
Menurutnya, kini, semua peniaga diwajibkan memiliki lesen perniagaan dari Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sebelum dibenarkan menjalankan perniagaan mingguan di lokasi itu.

Katanya, meskipun tanpa sebarang papan tanda tertulis Pasar Pagi Guntong di pasang di kampung itu, ia tetap menarik kehadiran pengunjung kerana konsep pasar di dalam kebun getah di sini unik.
Ujarnya, peniaga lama turut dibenarkan membina bangsal atau gerai kekal dengan sewaan tapak RM5 setiap minggu, manakala sewaan tapak gerai yang mengguna meja RM4.
Katanya, penduduk berdekatan yang kebanyakan terdiri daripada ahli keluarga turut menyewakan tanah masing-masing kepada pihak tentu termasuk badan bukan kerajaan untuk mengurus parkir bagi mengelakkan laluan utama sekitar pasar pagi itu sesak.
Seorang peniaga udang galah, Amirul Mustaqim Mat Jusoh, 19, berkata dia menjalankan perniagaan di pasar itu sejak lima tahun lalu selepas belajar berniaga dengan ibunya yang sudah 10 tahun bertapak di lokasi itu.
Berasal dari Jertih, Terengganu, katanya, bekalan udang galah diperoleh daripada pemancing di kawasan hulu Kelantan dan juga dari negara jiran.
“Saya suka berniaga di sini kerana kita berniaga dalam keadaan teduh apabila rimbunan pokok getah memayungi peniaga daripada cuaca panas,” katanya.
Seorang peniaga keris dan batu permata, Abdul Manaf kadir, 67, pula berkata dia berniaga di pasar pagi itu sejak lima tahun lalu.

ESAH menunjukkan sedulang belalang sawah yang dijual di gerainya di Pasar Pagi Guntong, Pasir Puteh.
Katanya, meskipun keris, badik, buah tasbih, cincin dan pisau kurang mendapat sambutan pelanggan, dia tetap meneruskan perniagaan di kebun getah itu kerana minatnya terhadap perniagaan.













