fbpx

Harga produk farmaseutikal naik lima hingga tujuh peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Amir-Jeffrey (kiri) bersama panelis yang menghadiri Simposium Farmaseutikal Halal 2022 anjuran Duopharma Biotech di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Harga jualan bagi sebahagian ubat-ubatan dan produk makanan tambahan ke­luaran Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) telah dinaikkan secara berperingkat antara lima hingga tujuh peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Wan Amir-Jeffey Wan Abdul Majid berkata, kenaikan tersebut tidak mampu dielakkan memandangkan pelbagai isu yang membelenggu industri termasuk kos logistik yang meningkat selain kadar tukaran wang asing yang kini tidak memihak kepada ringgit.

Tambahnya, situasi semasa diburukkan lagi dengan kekangan pasaran pada tahun 2020 dan 2021 yang tidak membenarkan syarikat farmaseutikal menaikkan harga.

“Sebenarnya harga naik hampir setiap tahun, cuma pada 2020 dan 2021 tiada yang berani menaikkan harga kerana situasi pasaran ketika itu tidak membenarkan.

“Sekarang dengan isu harga petroleum meningkat, manakala kadar tukaran wang asing pula telah mencecah RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan apabila kami membeli bahan mentah menggunakan dolar AS, maka mahu tidak mahu ia perlu dipindahkan kepada pengguna.

“Kenaikan harga sekarang dikaitkan dengan inflasi namun pada masa sama, kami cuba memastikan harga jualan produk terus kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel Simposium Farmaseutikal Halal anjuran Duopharma Biotech di sini baru-baru ini.

Wan Amir-Jeffey menambah, sebarang kenaikan harga perlu dibuat secara berhati-hati kerana harga ubat-ubatan sukar untuk turun semula selepas ia naik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan cabaran utama bagi pemain industri farmaseutikal halal masa kini adalah penggunaan pelbagai standard bagi pelbagai pasaran di seluruh dunia.

“Sekiranya ada satu standard halal yang dipersetujui untuk diguna pakai oleh semua, hal ini akan memudahkan pematuhan oleh syarikat.

“Di samping itu, ia akan dapat membantu proses penciptaan kesedaran dalam kalangan pengguna,” katanya.

Sejak 1999, Duopharma Biotech telah menerajui pengeluaran makanan tambahan halal, termasuk daripada jenama Champs, Flavettes, Proviton dan Naturalle yang diiktiraf halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI