fbpx

Bon Odori: Istana Selangor nafi laporan hasil pertemuan Sultan Selangor, Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Istana Selangor menafikan laporan sebuah portal mengenai hasil pertemuan antara Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkaitan festival Bon Odori.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, perkara itu merujuk kenyataan Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir yang disiarkan portal itu semalam.

“Kenyataan itu bertajuk ‘Tiada Masalah antara kami, kata PAS Selangor selepas menghadap Sultan’ yang mana kandungan beritanya memetik sebagai berkata ‘Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori’.

“Ia turut menyatakan ‘Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada Baginda bahawa kami menghormati pendirian Baginda’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau, kenyataan itu tidak tepat sama sekali dan tidak sebenarnya berlaku dalam pertemuan di Istana Bukit Kayangan di sini, Selasa lalu.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku hanya menyatakan pendirian baginda tidak menyekat festival Bon Odori di Selangor yang hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang orang Islam menghadirinya sehingga satu kajian mendalam dilakukan sama ada ia berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelak kekeliruan masyarakat,” ujarnya.

Tambah Mohamad Munir, sesi menghadap Sultan Sharafuddin itu juga disertai beberapa Ahli Dewan di-Raja Selangor.

“Turut dititah hadir menyaksikan pertemuan itu ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof; Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah dan Dato’ Setia Salehuddin Saidin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI