fbpx

Takung air elak sawah kering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian petani membina benteng untuk menakung air parit untuk disalurkan kawasan bendang Peraksi, Pasir Puteh yang kering malam kelmarin. – Torek Sulong

PASIR PUTEH – Seramai 30 petani berkerja keras selama empat malam berturut-turut untuk membina tebatan bagi menakung air, sekali gus memastikan tanaman padi yang diusahakan mereka terus subur ketika musim kemarau.

Kumpulan petani berkenaan bergotong-royong selama lima jam setiap hari bermula pukul 9 malam dengan mengisi pasir ke dalam guni bagi mengalirkan air dari parit ke sawah ketika Tidal Gate Kampung Lembah dibuka.

Menurut wakil petani, Alias Mat Rani, 66, mereka melakukan usaha itu berikutan cuaca kemarau ketika ini yang boleh merencatkan proses pertumbuhan benih padi yang baru ditabur.

Menurutnya, semua petani sudah menanggung perit menanam padi di bendang berkenaan sejak 20 tahun lalu apabila tiada kemudahan sistem saliran dan pengairan di kawasan berkenaan.

“Kami mengeluarkan wang sendiri untuk membeli tiga lori pasir dan mengisi ke dalam guni untuk menyekat pergerakan air parit apabila pintu kawalan air di Kampung Lembah dibuka.

“Sebelum ini, kami terpaksa menggunakan enjin pam untuk menyedut sumber air dari parit bagi menanam padi, namun ia memerlukan kami mengeluarkan kos yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di bendang Pe­raksi di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Alias berkata, Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (IADA) Kemasin-Semerak sepatutnya membantu petani dan bukan hanya membiarkan masalah yang dihadapi sejak sekian lama itu daripada terus berulang.

“Kami perlukan tali air dan pintu sekatan air yang lebih sistematik seperti yang disediakan di bendang lain di daerah ini.

“Bayangkan, lebih 20 tahun petani di sini memerah keringat dan mengeluarkan modal sendiri untuk mengusahakan tanaman padi seluas 118 hektar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IADA, Rohani Jusoh ketika dihubungi berkata, pelaksanaan sistem pengairan di kawasan itu akan dimulakan pada tahun depan selepas pihaknya meneliti beberapa aspek dan kajian yang perlu dijalankan di lapangan.

Menurutnya, IADA juga akan memperkenalkan benih padi tahan kemarau terutamanya di bendang yang kurang air menerusi satu taklimat khas kepada petani yang akan diadakan di Kampung Gaal di sini pada 19 Jun nanti.

Kosmo! pada 30 Mei lalu melaporkan, kira-kira 30 pesawah yang mengusahakan kawasan bendang di Peraksi dan Chalok di sini terpaksa menggunakan kaedah lama iaitu bergantung kepada air tadahan hujan untuk mengusahakan tanaman mereka sejak 20 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI