fbpx

Penganggur didakwa cederakan warga emas dengan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Gee Doon (tengah) untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majisret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan seorang warga emas yang juga jirannya dengan sebatang kayu, minggu lalu.

Tertuduh, Koh Gee Doon, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan, Hor Keng Wah, 69, dengan menggunakan sebatang kayu sehingga menyebabkan warga emas itu cedera pada bahagian atas kepala.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di hadapan sebuah rumah di Jalan Kelochor, Padang Kelochor di sini kira-kira pukul 12.20 tengah hari pada 9 Jun lalu.

Gee Doon didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabktkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.

Terdahulu, Ariyani dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin tidak melebihi RM3,000 kepada tertuduh yang turut bersedia untuk mematuhi syarat ditetapkan mahkamah sekiranya ada.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, gara-gara berselisih faham mengenai pokok, seorang warga emas menemui ajal selepas dipukul jirannya dengan sebatang kayu di Jalan Kelochor di sini pada 9 Jun lalu.

Keng Wah dijumpai isterinya dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di bahagian dapur rumah mereka.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, berlaku salah faham antara mangsa dan jirannya kerana lelaki itu dipercayai memarahi Keng Wah kerana menanam pokok di kawasan jalan sehingga menyebabkan kenderaannya sukar melalui laluan tersebut.

Katanya, suspek yang tidak berpuas hati dipercayai mengambil sebatang kayu dan memukul warga emas tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI