fbpx

Datang dari Australia nikmati durian nasi kunyit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASA durian nasi kunyit yang manis, pekat serta isi kekuningan mempunyai kelompok penggemar yang tersendiri.

GEORGE TOWN – Durian nasi kunyit atau lebih dikenali sebagai ‘durian pencen’ dikatakan masih kekal ada peminatnya yang tersendiri terutama golongan berusia 70-an bagi menggamit semula nostalgia zaman kanak-kanak mereka.

Durian yang popular sekitar tahun 1940-an itu sehingga kini masih mendapat permintaan tinggi meskipun bilangan pokok yang berusia lebih 100 tahun itu kini didakwa hanya tinggal dua hingga tiga peratus sahaja di kawasan Balik Pulau.

Saiz pokok yang mencecah sehingga lebih 30 meter itu dikatakan mempunyai akar yang besar berbanding pokok durian premium lain.

Pemilik kebun durian di Balik Pulau, Ah Boon, 28, berkata, ­durian nasi kunyit atau juga dipanggil ‘durian orang tua’ kini masih menjadi pilihan utama pelanggannya setiap kali tibanya musim durian di daerah itu.

Dia mengakui, pelancong dari dalam dan luar negara yang berusia 70 tahun ke atas sanggup bercuti ke Pulau Pinang semata-mata mahu mengimbau semula kenangan zaman kecil mereka apabila menikmati durian ‘rare’ tersebut.

“Ada pelanggan dari Australia yang merupakan penduduk asal di negeri ini juga datang berta­nyakan durian nasi kunyit di gerai saya baru-baru ini. Mereka sanggup bercuti lama kerana mahu mencari buah ‘durian pencen’ itu yang hanya dijual RM12 sekilogram ketika ini.

“Saya tak sanggup letak harga buah durian nasi kunyit dengan begitu mahal kerana majoriti yang datang membeli ialah warga emas. Selebihnya saya menganggapnya sebagai kebajikan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

POKOK durian nasi kunyit setinggi 30 meter serta berusia lebih 100 tahun kini sudah tidak banyak di Balik Pulau.

Dalam pada itu, Ah Boon memberitahu, kebanyakan pe­langgan membeli lebih 10 biji durian tersebut untuk dijamu bersama anak-anak, cucu dan cicit mereka di rumah.

“Setakat ini, hanya tinggal tiga pokok raja buah berusia lebih 100 tahun itu di dusun saya, mana­kala sebatang lagi patah akibat dipanah petir beberapa tahun lalu.

“Tahun ini, dianggarkan sebanyak 400 biji buah durian nasi kunyit sudah mengeluarkan hasil dan kini musim buah itu sudahpun mahu berakhir.

“Saya nekad memelihara pokok durian nasi kunyit yang merupakan antara raja buah tertua di Balik Pulau. Ini kerana, ramai tidak menyedari yang buah durian ini mampu mendapatkan hasil lumayan empat kali ganda berbanding durian musang king dan duri hitam jika dilakukan kaedah cantuman dewasa,” jelasnya.

Tambah Ah Boon, durian nasi kunyit mempunyai keistimewaan rasa yang berlainan dengan buah premium atau klon lain. Rasanya manis, pekat, warna buah seakan kunyit, manakala baunya harum seakan bunga kacang.

Sementara itu, seorang pe­langgan yang hanya mahu dikenali sebagai Eric, 71, berkata, dia sanggup datang dari Johor bersama keluarga termasuk cucu dan cicitnya semata-mata mahu mengimbau semula kenangan kali pertama menikmati durian nasi kunyit ketika baru berusia lima tahun.

“Saya teruja kerana berpe­luang mengabadikan kenangan silam zaman kanak-kanak ketika mendiang bapa membawa pulang durian ini yang diberi rakannya suatu ketika dahulu.

“Orang muda berusia 30 tahun sehingga 50-an mungkin tidak tahu dan tidak pernah me­rasa buah ini. Mereka hanya tahu durian klon iaitu musang king, duri hitam, horlor dan udang merah sahaja.

“Saya ke sini untuk ambil peluang menunjukkan buah legend ini kepada cucu dan cicit supaya mereka tahu inilah durian orang lama paling berharga dan antik,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI