fbpx
Zamri (empat dari kanan) bersama usahawan yang menerima pembiayaan pinjaman di Hotel The Light, Seberang Perai di sini hari ini. - FOTO: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Pernas peruntuk RM43 juta lahir usahawan francais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperuntuk RM43 juta dalam usaha melahirkan usahawan berdaya saing di negara ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mazlan Ibrahim berkata, peruntukan itu membabitkan pembiayaan dan latihan khusus buat usahawan francais termasuk francaisor, francaisi melalui program Transformasi Perniagaan (BIT).

“Setiap tahun, kami akan mengenalpasti dan mengumpulkan jenama-jenama yang berpotensi untuk dibangunkan. Kami akan bimbing dan memberi khidmat nasihat selain menyediakan skim pembiayaan francais bergantung kepada jenis perniagaan yang diusahakan.

“Selain itu, pembiayaan turut disediakan pelbagai agensi selain Pernas bergantung kepada saiz perniagaan yang dijalankan oleh usahawan,” katanya selepas menghadiri Program Bizfrancais Pulau Pinang 2022 yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, program terbabit berjaya menarik minat lebih 300 usahawan dan bakal usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

“Kita sediakan sesi perkongsian dan taklimat berkaitan ilmu keusahawanan membabitkan agensi kerajaan dan usahawan francais terkemuka. Program ini akan diteruskan di tiga lagi lokasi di Sabah, Sarawak dan Kelantan,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

POPULAR