fbpx

Geng Haiti culik 38 penumpang bas mini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menunjuk perasaan kerana membantah keadaan keselamatan yang tidak terkawal di Port-au-Prince pada 29 Mac lalu. – AFP

PORT-AU-PRINCE, HAITI – Anggota-anggota geng penjenayah menculik 38 orang kelmarin ketika mereka menaiki dua buah bas mini keluar dari Port-au-Prince menuju ke selatan Haiti, kata ketua persatuan pemandu kepada agensi berita AFP. 

“Dua bas penuh dengan penumpang menuju ke Miragoane iaitu sebuah bandar terletak sekitar 100 kilometer ke barat Port-au-Prince apabila sekumpulan lelaki dari Kampung de Dieu merampasnya,” kata presiden persatuan pemandu dan pemilik bas Haiti, Mehu Changeux.

Dia merujuk kepada sebuah kawasan setinggan di ibu kota Haiti yang dikuasai oleh geng penjenayah.

“Setiap bas mempunyai 18 penumpang,” kata Changeux tanpa menyebut sama ada wang tebusan telah diminta.

Penculikan beramai-ramai itu berlaku ketika Haiti berada dalam genggaman kumpulan-kumpulan penjenayah bersenjata yang gagal dibanteras oleh polis negara itu.

Sejak 1 Jun 2021, pihak berkuasa Haiti hilang kawalan ke atas satu-satunya jalan menghubungkan Port-au-Prince dan selatan negara itu dengan sebuah kawasan sejauh 2 kilometer berada di bawah penguasaan kumpulan-kumpulan bersenjata.

Penculikan 38 orang itu berlaku di jalan tersebut iaitu laluan keluar sebelah barat di Port-au-Prince.

Changeux berkata, organi­sasinya sentiasa meminta pemandu-pemandu supaya tidak menggunakan jalan tersebut sehingga kawalan keselamatan dapat dipulihkan.

Namun, warga kota Port-au-Prince yang paling miskin tidak mampu membayar tol tidak rasmi sekiranya menggunakan laluan alternatif.

“Terdapat sesetengah bas yang mengambil risiko kerana sebilangan penumpang tidak mampu membayar kos perjalanan jika menggunakan jalan pergunu­ngan,” kata Changeux. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI