PETALING JAYA – Bukan sahaja wanita yang sering menjadi mangsa seksual terutama di tempat kerja, malah golongan lelaki juga mengalami gangguan itu daripada perempuan miang dalam pelbagai bentuk.
Bagaimanapun, mereka tidak berani bersuara kerana malu menjadi bahan ketawa masyarakat selain menganggap tiada saluran yang sesuai untuk menyuarakan masalah itu.
Pegawai Program Persatuan Pergerakan Wanita (Awam) Malaysia, Aisyah Nisa berkata, stigma masyarakat yang beranggapan gangguan seksual hanya berlaku terhadap wanita juga telah mengakibatkan ramai lelaki yang menjadi mangsa memilih untuk berdiam diri.
Menurutnya, terdapat kajian yang menunjukkan hanya 44 peratus daripada lelaki yang menjadi mangsa seksual cenderung untuk bersuara berbanding golongan wanita sebanyak 57 peratus.
“Memang benar kebanyakan gangguan seksual dialami wanita, namun lelaki juga boleh menjadi mangsa jenayah ini.
“Kalau lelaki jadi mangsa, ramai orang yang tidak akan peduli, sebaliknya akan menyalahkan mereka. Sebenarnya, mereka juga akan rasa trauma, terhina dan terugut dengan perbuatan seksual perempuan miang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Antara bentuk gangguan seksual ialah secara fizikal, lisan, isyarat, visual, psikologi dan dalam talian.
Aisyah memberitahu, Polis Diraja Malaysia juga telah mengeluarkan statistik yang menunjukkan sebanyak 79 peratus laporan jenayah gangguan seksual diterima dalam kalangan wanita, manakala mangsa lelaki pula sebanyak 21 peratus sepanjang 2013 hingga 2017.
Katanya, jumlah itu dilihat sangat kecil bagi mangsa lelaki yang telah membuat laporan polis dan selebihnya memilih untuk berdiam diri.
“Ramai mangsa lelaki enggan mendapatkan bantuan kerana takut dan malu dengan stigma masyarakat sehingga akhirnya memaksa mereka untuk menguruskan situasi itu dengan cara sendiri.
“Selain itu, stereotaip jantina yang beranggapan wanita lebih lemah berbanding lelaki yang mempunyai fizikal kuat serta bersifat melindungi menyebabkan wujudnya kepercayaan bahawa lelaki sepatutnya mampu menghalang diri daripada terkena gangguan seksual daripada wanita,” ujarnya.
Menurutnya, kegagalan untuk mengakui lelaki juga boleh menjadi mangsa seksual akan memberi kesan kepada diri serta hubungan bersama keluarga dan masyarakat.
Katanya, ini secara tidak langsung mengakibatkan mangsa lelaki sukar untuk mendapatkan bantuan psikologi serta mengambil tindakan undang-undang kerana saluran terbabit menjadi terhad.
“Bagi mengatasi masalah ini, masyarakat perlu membuka lebih banyak saluran serta ruang buat mangsa lelaki supaya mereka mendapat sokongan dan mampu berganding bahu bersama wanita dalam memerangi jenayah seksual.
“Awam adalah pergerakan yang menyokong wanita khususnya yang mengalami keganasan berdasarkan jantina, namun kita juga sedar bahawa jenayah terbabit boleh berlaku terhadap sesiapa sahaja,” katanya.
Justeru, Awam menyediakan Talian Bantuan Telenita yang boleh dihubungi menerusi talian 016-237 4221 bagi membantu mangsa gangguan seksual untuk mendapatkan bantuan tanpa mengira jantina mereka termasuk lelaki.














