fbpx

Pelancong ditipu inap desa tak wujud di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELANCONG yang datang ke Terengganu diingatkan agar berhati-hati dengan penipuan inap desa tidak wujud. – GAMBAR HIASAN

KUALA TERENGGANU – Ke­ghairahan orang ramai untuk melancong di Terengganu pada musim cuti persekolahan ini telah membuka ruang pihak bertanggungjawab melakukan penipuan inap desa tidak wujud.

Mereka yang membayar menerusi perbankan online ha­nya menyedari inap desa yang ditempah itu sebenarnya tidak wujud sebaik tiba ke negeri ini untuk bercuti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, polis percaya ramai telah menjadi mangsa, namun setakat ini hanya satu aduan berhubung penipuan tersebut telah diterima baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan tersebut, pengadu mendakwa menerima pesanan ringkas daripada individu tidak dikenali yang menawarkan sebuah inap desa di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu di sini.

“Mangsa yang percaya suspek merupakan pemilik inap desa terbabit telah membayar secara online sebanyak RM221.50 untuk urusan penginapan.

“Alangkah terkejut mereka apabila mendapati inap desa terbabit sebenarnya tidak wujud sebaik tiba di lokasi dinyatakan suspek,” katanya di sini semalam.

M. Zambri berkata, mangsa yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis berhubung kes berkenaan tidak lama kemudian.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya percaya ramai lagi yang menjadi mangsa kes penipuan inap desa tidak wujud ini.

“Penjenayah mengambil ke­sempatan minat orang ramai dari luar untuk mengunjungi Terengganu sempena cuti persekolahan ini untuk melakukan penipuan,” katanya.

Beliau menasihatkan mangsa penipuan agar segera membuat laporan polis.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI