JOHOR BAHRU – Gaji lumayan yang ditawarkan kepada pekerja biasa seperti pembantu kedai makan dan tukang masak menjadi pembakar semangat kepada kira-kira 300,000 rakyat negara ini berpusu-pusu mencari rezeki di Singapura sejak April lalu.
Pekerja yang kini bebas ulang-alik merentasi Tambak Johor di Johor Bahru atau Laluan Linkedua, Gelang Patah di sini kini tersenyum lebar apabila khidmat mereka amat diperlukan oleh pelbagai sektor di Singapura.
Mereka mampu memperoleh upah antara RM4,700 hingga RM5,700 sebagai pembantu kedai makan dan tukang masak melebihi gaji yang diterima pekerja profesional di Malaysia.
Seorang bekas jurujual aksesori telefon di Malaysia, Muslim Rashid, 24, berkata, dia kini ligat mengumpul duit selepas mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci di negara berkenaan.
Katanya, dia bersyukur kerana mendapat kerja selepas sebulan membuat permohonan., tambahan pula perlu bersaing dengan ramai lagi individu yang turut memohon kerja di situ.
“Saya sangka masuk terus dapat rupanya perlu tunggu beberapa minggu. Alhamdulillah saya dapat kerja cuci pinggan dan lap meja sebuah restoran di medan selera dengan gaji SGD$1,500 (RM4,785) tidak termasuk kerja lebih masa.
“Mungkin ini rezeki anak sulung saya yang bakal lahir tidak lama lagi,” kata lelaki berasal dari Besut, Terengganu itu ketika dihubungi.
Sementara itu, seorang tukang masak di Singapura, Rosnah Ismail, 47, berkata, dia sudah lebih dua tahun bekerja di negara jiran tersebut.

Katanya, skop tugas yang dilakukan adalah hanya menyediakan makanan serta minuman di hospital swasta warga emas.
“Sebelum masuk ke sini (Singapura), macam-macam kerja saya buat, jual kuih, tukang cuci dan lain-lain. Gaji masa itu cukup-cukup makan.
“Tetapi setelah bekerja di Kota Singa ini, boleh katakan kehidupan saya dan keluarga telah berubah, gaji yang saya dapat bulan-bulan SGD$1,800 (RM5,742),” katanya.
Dengan sumber rezeki itu, Rosnah berkata, anak-anaknya yang sebelum ini tinggal di rumah pangsa kos rendah telah bertukar menyewa rumah teres di Johor Bahru sebanyak RM1,200 sebulan selain berjaya membeli kenderaan pelbagai guna.
Dalam pada itu, seorang jururawat, Mohd. Fadli Ahmad, 25, berkata, dia sanggup berhenti kerja di salah sebuah hospital swasta di ibu negara untuk berhijrah ke Singapura.
Katanya, ketika bekerja di negara ini, dia ditawarkan gaji RM2,400 hingga RM3,200.
“Kini saya boleh dapat sehingga RM7,000 sebulan dan mampu menyediakan rumah yang lebih sempurna buat ibu bapa saya di kampung,” katanya.
Menurut Mohd. Fadli, perbezaan gaji yang lebih ketara antara Malaysia dan Singapura membuatkannya nekad untuk mencari rezeki di negara berkenaan demi menyediakan kehidupan yang lebih sempurna buat keluarganya.














