fbpx
GAMBAR pada 29 Meil lalu menunjukkan petugas kecemasan membantu mangsa yang diselamatkan selepas feri Ladang Pertiwi 02 karam di perairan Indonesia. - AFP

Korban feri Indonesia karam meningkat kepada 19, pencarian dihentikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Angka korban dalam tragedi sebuah feri yang karam di perairan Indonesia meningkat kepada 19 orang semalam selepas operasi mencari dan menyelamat selama 10 hari dihentikan, kata pihak berkuasa.

KM Ladang Pertiwi kehabisan bahan api dan karam dalam cuaca buruk ketika belayar melalui Selat Makassar dalam wilayah Sulawesi Selatan pada 26 Mei lalu.

Berita kemalangan itu hanya sampai kepada pengetahuan pihak berkuasa dua hari kemudian lantas mencetuskan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran melibatkan nelayan tempatan serta sebilangan bot tunda.

Pihak berkuasa menyelamatkan seramai 31 penumpang dan anak kapal, menemui empat mayat dan mengisytiharkan 15 mangsa lain masih hilang sebelum usaha mencari berakhir. Mereka yang hilang dianggap sudah mati.

“Kami membatalkan pencarian kerana tiada tanda-tanda bahawa lebih ramai mangsa dapat ditemui,” kata ketua operasi mencari dan menyelamat tempatan Djunaidi kepada agensi berita AFP.

Kapten feri terselamat dalam nahas tersebut. Dia dinamakan minggu lalu sebagai suspek kerana mengangkut penumpang tanpa permit, begitu juga pemilik feri kerana mengambil kru tanpa kelayakan sepatutnya, demikian menurut media tempatan.

Djunaidi berkata, nelayan tempatan yang kerap belayar di kawasan itu telah diberitahu supaya memaklumkan pihak berkuasa jika mereka menemui lebih banyak mayat.

Katanya, operasi mencari boleh dibuka semula sekiranya terdapat tanda-tanda mangsa terselamat.

Djunaidi memberitahu sidang akhbar semalam bahawa kemalangan itu menjadi peringatan untuk “mengutamakan keselamatan kita”.

Kemalangan marin adalah perkara biasa di Indonesia yang mempunyai sekitar 17,000 buah pulau di mana peraturan keselamatan kerap dikuatkuasakan secara longgar.

Pada Mei lalu, sebuah feri membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur dan kekal tersangkut selama dua hari. Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.

Pada 2018 pula, lebih 150 orang mati lemas apabila sebuah feri karam di salah sebuah tasik paling dalam di dunia di Pulau Sumatera. – AFP 

POPULAR