GEORGETOWN – Sebuah feri usang membawa lebih 100 orang karam di luar pantai Guyana, dengan 67 mangsa diselamatkan, manakala pasukan penyelamat masih mencari baki mangsa, kata beberapa pegawai semalam.
Feri MV Barima meninggalkan negara kecil di timur laut Amerika Selatan itu petang kelmarin. Ia membawa 133 orang dan belayar dari ibu kota Guyana, Georgetown menuju Bandar Pelabuhan Kaituma.
Feri itu bergerak di perairan Atlantik sebelum menuju ke hulu sungai untuk sampai ke destinasinya.
“Petunjuk awal mendapati MV Barima terbalik selepas dilanda ombak besar.
“Seramai 67 orang termasuk 15 kanak-kanak diselamatkan setakat ini(semalam),” kata Menteri Kerja Raya, Juan Edghill di laman Facebook.
Menurut Perdana Menteri Mark Phillips pula, mangsa yang diselamatkan termasuk 41 lelaki, 11 wanita, enam budak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Kemalangan itu merupakan trauma besar bagi Guyana yang mempunyai kira-kira satu juta penduduk.
Pihak berkuasa menyenaraikan 66 mangsa lain sebagai hilang, bukannya mati.
Operasi menyelamat diteruskan semalam apabila kapal-kapal milik persendirian menyertai pasukan kerajaan untuk mencari mangsa yang terselamat.
MV Barima dilengkapi dengan 250 jaket keselamatan, dua bot penyelamat dan enam rakit kembung, kata Edghill.
Ia membawa 116 penumpang bersama 17 anak kapal.
Feri itu dibina pada tahun 1939, demikian menurut laman web perkapalan VesselFinder. – AFP














