fbpx

Puncak Alam antara jajaran stesen ECRL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul beramah mesra dengan tetamu yang menghadiri program di Puncak Alam.

KUALA SELANGOR – Pembinaaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan turut melibatkan laluan atau jajaran stesen di sekitar Puncak Alam di sini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu dimuktamadkan menerusi perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) baru-baru ini.

Kata beliau, perancangan pembinaan stesen Puncak Alam itu sememangnya ada sebelum ini, namun belum dimuktamadkan.

“Selepas perbincangan dibuat bersama Kementerian Pengangkutan dan MRL, mereka membuat keputusan untuk membina semula stesen ECRL itu.

“Bajet mengenai pembinaan itu memang ada dan kita akan umumkannya kelak,” katanya ketika ditemui pada program Kenduri Rakyat di Puncak Alam di sini malam ini.

Beliau antara lebih 10,000 tetamu yang hadir memeriahkan program anjuran Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan persatuan penduduk setempat.

Media sebelum ini melaporkan kereta api ECRL yang dijangka beroperasi pada 2027 itu mampu menampung 5.6 juta penumpang setahun atau maksimum 440 penumpang bagi setiap perjalanan menerusi enam gerabaknya.

Setakat Januari lalu, kemajuan keseluruhan projek itu melibatkan empat negeri sudah mencapai 28.5 peratus melibatkan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Jelas Tengku Zafrul, pembinaan stesen itu kelak diharap memberi manfaat kepada penduduk daerah ini terutama menjana ekonomi dan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kuala Selangor akan dijadikan sebagai daerah angkat bagi Kementerian Kewangan.

Ditanya mengenai ura-ura dikaitkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor, beliau hanya memaklumkan dirinya masih sebagai Menteri Kewangan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI