MENJEJAKKAN kaki ke Glow Putrajaya yang terletak di Taman Wetland, Presint 13 di Putrajaya, membawa pengunjung melupakan seketika penat dan kesibukan kerja di bandar.
Biarpun Putrajaya lebih dikenali sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, lokasi ini tidak hanya menawarkan pemandangan batu-batan bangunan pentadbiran kerajaan dan kementerian semata-mata.
Malah, seringkali pengunjung dari luar daerah ini tertanya-tanya apakah yang aktiviti menarik boleh dilakukan di sini selain menghabiskan masa di pusat beli-belah semata-mata.
Justeru Glow Putrajaya antara tempat percutian wajib dikunjungi buat anda yang menyukai perkhemahan di dalam hutan dengan gaya hotel sambil melakukan aktiviti lasak.
Dibuka sejak Disember tahun lalu, Glow Putrajaya menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung termasuk dari luar Putrajaya ditambah lagi, dengan kemudahan lengkap termasuk tandas, surau dan kafeteria disediakan di sini.
Tidak perlu runsing memikirkan makanan hendak dibawa, kesemuanya telah disediakan oleh pihak pengurusan meliputi pakej yang ditawarkan kepada pelanggan.
Dibuka sejak Disember tahun lalu, Glow Putrajaya menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung termasuk dari luar Putrajaya ditambah lagi, dengan kemudahan lengkap termasuk tandas, surau dan kafeteria disediakan di sini.
Mohd. Noor Arif berkata, selain itu promosi yang pernah dijalankan di Singapura juga mendapati, ramai yang bertanyakan sama ada pihaknya turut menjalankan perkhemahan glamping di Lembah Klang.
Pengarah Glamping Park Travel and Tours Sdn. Bhd., Mohd. Noor Arif Mohd. Azmi berkata, sebanyak 20 khemah disediakan terdiri daripada dua jenis iaitu ‘couple tent’ sesuai untuk pasangan dan ‘quad tent’ untuk keluarga dengan maksimum empat orang.

“Kami ada satu perkhemahan glamping di Gopeng, Perak yang masuk usia tiga tahun. Kami menerima jemputan untuk membuka glamping di luar Gopeng dan seterusnya tertarik untuk beroperasi di Putrajaya.
“Salah satu sebab kami tertarik ke sini kerana berdasarkan data kami di Gopeng, kira-kira 70 peratus pengunjung adalah dari Lembah Klang terutama Putrajaya, Cyberjaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Paling ramai Putrajaya dan Cyberjaya,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Noor Arif berkata, selain itu promosi yang pernah dijalankan di Singapura juga mendapati, ramai yang bertanyakan sama ada pihaknya turut menjalankan perkhemahan glamping di Lembah Klang.
“Untuk ke Gopeng, mereka mengambil masa perjalanan enam jam jadi, perlu rehat satu hari berikutan agak jauh. Mereka bertanya sama ada kami mempunyai glamping yang berdekatan.
“Jadi apabila ditawarkan di Putrajaya, kami bersetuju datang ke sini. Ditambah lagi Putrajaya berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memudahkan pelancong luar negara bercuti di sini.
“Orang kenal Putrajaya dengan bandar pentadbiran jadi dengan adanya glamping di sini, pengunjung yang meminati alam semula jadi dan dalam masa sama tidak mahu melepaskan peluang ‘shopping’ di pusat beli-belah, mereka boleh memilih untuk ke Glow Putrajaya,” katanya.

Arif berkata, uniknya 10 daripada 20 khemah tersebut mempunyai nama diambil daripada pokok-pokok di Taman Wetland yang mempunyai fungsi tersendiri menapis air sebelum dialirkan ke tasik Putrajaya antaranya bakong, purun, gedabong, naleh dan sadang.
“Pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) sendiri yang memberi nama khemah-khemah di sini yang mana ia berfungsi menapis air di bahagian sel di Taman Wetland ini secara semula jadi sebelum dilepaskan ke tasik Putrajaya.
“Fungsi pokok ini akan memakan bakteria di dalam air dan ia menapisnya terlebih dahulu. Tujuan diberikan nama pokok pada khemah ini juga sebagai pendidikan pengetahuan am kepada pengunjung.
“Terdapat hentian berbasikal di Taman Wetland ini dan apabila pengunjung bersiar-siar dan berhenti di situ, disediakan maklumat penerangan berkenaan pokok-pokok serta namanya,” ujarnya.
Sementara itu, pengunjung, Sasarena Samad, 26, berkata, dia datang dari Shah Alam dan membuat keputusan untuk bercuti di Glow Putrajaya bersama rakan-rakannya serta mengetahui lokasi tersebut selepas tular di dalam media sosial.

“Pada mulanya, kami bercadang untuk bercuti ke Genting Highlands tetapi memikirkan ia jauh, kami mencari tempat lain yang lebih dekat sehinggalah terjumpa Glow Putrajaya.
“Banyak aktiviti disediakan dan pada sebelah malam, ada ‘campfire’ ditambah suasana keliling hutan yang tenang. Percutian kami ini hanya sekadar untuk menenangkan fikiran bersama kawan-kawan.
“Kami sangat berpuas hati dengan keadaan di sini juga bersih. Untuk aktiviti petang, pengunjung boleh berbasikal atau menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) masuk ke hutan, jadi ia berbaloi untuk percutian singkat dan masih di dalam Lembah Klang,” katanya.
















