fbpx
UJAR Dr. Ridhuan Tee sikap orang Islam sendiri yang menyebabkan orang luar gagal memahami konsep yang dibawa agama suci itu.–SHIDDIEQIIN ZON

Berdakwah dengan orang Islam lebih susah – Ridhuan Tee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA menyebut nama Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, ia bukanlah sesuatu yang asing bagi kebanyakan masyarakat di negara ini.

Malah umum mengetahui bahawa beliau antara individu yang aktif menjalankan kerja-kerja dakwah dalam menegakkan syiar Islam.

Walaupun seorang mualaf dan memeluk Islam pada tahun 1985, beliau seorang yang lantang bersuara dalam pelbagai isu, terutamanya yang berkaitan dengan kesucian agama Islam.

Bagi membincangkan hal-hal berkaitan Islam dan lain-lain perkara berbangkit, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual pendakwah bebas itu di kediamannya di Ampang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Sebagai orang yang lantang bercakap tentang Islam, apa yang Prof. nampak tentang persepsi masyarakat bukan Islam di negara ini mengenai agama Islam dan umatnya?

DR. RIDHUAN TEE: Saya melihat persepsi bukan Islam terhadap Islam di negara kita ini pada masa kini agak menyedihkan ataupun tidak menyeronokkan walaupun kita telah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan.

Persepsi ini semakin lama tidak semakin baik dan ini mungkin disebabkan kefahaman mereka terhadap Islam agak cetek.
Masalah ini berlaku kerana majoriti daripada mereka melihat Islam itu pada bangsa dan orang, bukan pada isinya.

Apabila orang Islam tidak dapat menunjukkan contoh yang baik, maka agama Islam itu akan terpalit dan disalahfaham dan disalahtafsirkan.

Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kita yang berbilang kaum dan agama telah tinggal bersama sejak sekian lama.

Saya melihat mereka agak tertutup terhadap Islam. Apabila mereka cenderung melihat contoh tidak baik yang dilakukan oleh orang Islam, sudah tentu akan ada persepsi yang tidak baik terhadap Islam.

Sebenarnya jika memahami banyak perkara baik yang ada pada Islam, mereka tidak akan bersikap sedemikian.

Saya sendiri mengkaji dan mendalami Islam sejak sekolah, akhirnya nampak keindahannya dan memeluk Islam.

Apa yang baik datang dari Islam dan apa yang tidak baik datang dari sikap individu itu sendiri. Ini kefahaman yang harus kita jelaskan.

Pada masa sama, jika mereka tidak faham tentang Islam, datanglah untuk bertanya dan bukannya terus membuat kesimpulan yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya masalah lain.

Prof. sering dilabel oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan selama ini dengan mengatakan lebih Melayu daripada orang Melayu dalam memperjuangkan sesuatu perkara. Apa pandangan dalam hal ini?

Label ini telah diberikan kepada saya sejak sekian lama. Mana mungkin saya menjadi seorang Melayu kerana darah daging asal-usul saya adalah Cina.

Sebenarnya, perlembagaan negara kita unik sedikit kerana dalam perkara 160 (2) mendefinisikan Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan semua ciri itu ada pada saya.

Sebenarnya, saya adalah orang Cina yang sedar diri kerana saya hidup dalam majoriti orang Islam Melayu.

Kalau saya tidak cuba memahami mereka, apa ertinya saya hidup dalam negara yang menjunjung perkara tersebut dalam perlembagaan.

Sebenarnya asal-usul kita sahaja yang berbeza dan ia satu sejarah. Ia hakikat yang kita kena terima dan faham tentang perkara ini

Apabila datang ke negara orang, kita perlu bergaul dengan penduduk majoriti dan tidak hanya hidup dalam kepompong sesama kita sahaja.

Inilah yang berlaku di Malaysia hari ini, sehingga ada yang tidak boleh berbahasa Melayu walaupun ia adalah Bahasa Kebangsaan.

Negara lain tidak ada masalah ini kerana mereka telah diberi kata dua dan perlu sedar diri dan hidup dengan keadaan majoriti sepertimana di Indonesia dan Thailand.

Kita hanya ada sebuah negara yang bernama Malaysia, suka atau tidak perkara-perkara besar terutamanya yang telah termaktub dalam perlembagaan, semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama harus menerimanya.

Setiap kaum ada asal-usulnya dan negara kita menjadi berbilang kaum dan agama juga ada sejarahnya, yang mana orang Cina dan India datang ke Tanah Melayu sejak dahulu.

Oleh itu, unsur sedar diri itu harus ada jika ini tidak ada, dia akan jadi tidak sedar diri kemudian keras kepala dan akhirnya bersikap kurang ajar.


MENURUT Dr. Ridhuan Tee, dia akan bercakap jika sesuatu perkara itu salah, walaupun ada pihak tidak menyukainya.

Prof. juga sering dilabel memihak kepada satu-satu golongan dan dikatakan bertindak bias terhadap pihak lain dalam sesetengah isu berbangkit. Apa komen dalam isu ini?

Saya tidak melihat saya berpihak kepada satu pihak atau golongan sahaja. Dalam konteks ini, saya lebih berpegang kepada prinsip apa yang benar dan salah.

Saya hanya memperkatakan sesuatu yang benar dan sesuatu yang benar itu amat pahit. Kadangkala sesuatu yang benar itu sukar untuk diterima oleh semua orang.

Mereka melihat dan membuat andaian bahawa saya memihak kepada sesuatu pihak.

Saya tidak memihak kepada mana-mana golongan. Saya akan bercakap jika sesuatu perkara itu salah walaupun ada yang tidak suka.

Malah saya akan lebih lantang bersuara dan menentang kepada mereka yang menentang dan memainkan isu-isu sensitif tentang Islam.

Bagi saya mudah saja apabila berlaku pertembungan antara isu bangsa dengan agama saya akan lebih pentingkan agama. Saya kena mempertahan agama lebih daripada bangsa.

Jika kita lihat, orang Islam selalu berlapik untuk berkata-kata tentang agama lain. Tetapi mereka bersifat celupar apabila berbicara tentang Islam dan itu saya tidak boleh terima.

Malah Islam tidak pernah mengganggu mereka dengan hidup aman damai di negara ini dan langsung tidak menghalang untuk mereka jadi kaya raya.

Kalau kita lihat orang terkaya di Malaysia kebanyakan bukan Islam. Itu maknanya umat Islam di negara ini tidak pernah menyekat mereka mengumpul kekayaan.

Apa yang Prof. nampak masalah atau kepincangan yang semakin membarah dalam kalangan umat Islam di negara ini, terutamanya golongan muda dan nasihat kepada mereka yang terbabit?

Jika generasi muda yang beragama Islam tidak dapat memberi contoh yang baik ia akan memberi persepsi yang tidak elok terhadap Islam di kaca mata mereka yang beragama lain.

Generasi muda yang beramal dengan Islam akan memiliki sifat keperibadian yang baik dan sepatutnya perkara ini yang berlaku. Tetapi kita lihat perkara itu tidak berlaku pada hari ini.

Saya tidak kata semua anak muda yang tidak beramal dengan Islam, ada juga yang berbuat demikian.

Tetapi kini tumpuan banyak diberikan kepada generasi muda yang kurang beramal dengan Islam, sekali gus memberi perspektif yang tidak baik kepada agama kita.

Saya mohon kepada anak-anak muda jika tidak tahu agama belajarlah. Saya belajar Islam dari usia muda dan Islam yang membentuk saya menjadi insan yang tahu batas-batas agama apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Apakah ujian terbesar yang pernah dialami sejak Prof. menjalankan usaha dakwah selama ini?

Bagi saya, ujian dakwah terhadap orang bukan Islam itu adalah satu perkara yang biasa.

Tetapi ujian dakwah yang paling besar dalam hidup saya selama ini adalah berhadapan dengan orang Islam itu sendiri.

Orang Islam itu sendiri yang menentang Islam, terutama mereka yang membawa fahaman Islam liberal dan mereka yang terkeluar dari asas-asa agama sebenar.

Malah pada awal-awal memeluk Islam dan menjalankan usaha dakwah kepada orang Islam meminta mereka kembali kepada agama, mereka menempelak saya.

Mereka berkata, kamu baru memeluk Islam, pergi belajar bagi faham terlebih dahulu.
Sedangkan sifat orang Islam bukan begitu. Sepatutnya kita mengamalkan amar makruf nahi mungkar iaitu menyeru kepada perkara baik dan cegah benda tidak baik.

Bagi saya, itulah ujian terbesar apabila hendak menyampaikan Islam kepada orang Islam itu sendiri.

Ia ditentang dengan begitu hebat sehingga boleh menimbulkan hubungan tidak harmoni.

RIDHUAN TEE memberitahu, tugas dakwah kepada orang Islam lebih susah dibandingkan dengan aktiviti itu kepada bukan Muslim.

Selain bergelar pendakwah bebas, Prof. juga merupakan seorang yang turut lantang bercakap politik. Apa yang saudara lihat tentang perjalanan politik di negara ini pada masa sekarang yang kebanyakan pihak mendakwa, ramai orang politik lebih suka ‘bergaduh’ sesama sendiri daripada menyelesaikan masalah rakyat?

Ramai yang panggil saya ustaz dan sebenarnya saya latar belakang saya adalah dalam bidang Sains Politik.

Apabila memeluk Islam, saya sedar dan perlu memahami dan mendalami Islam jadi saya belajar tentang Islam dan menjalankan usaha dakwah.

Bila masuk universiti, saya memilih belajar dalam Sains Politik.

Jadi, apabila saya bercakap dan ulas tentang politik, ia adalah di bawah bidang pengetahuan saya.

Tidak bergunalah jika saya tidak mengulas isu-isu di bawah bidang yang saya tahu.

Sudah semestinya seseorang itu akan lebih lantang bersuara dan mengulas jika isu-isu yang diulaskan itu adalah dalam bidang pembelajarannya.

Ada pihak tidak suka saya mengulas isu-isu berkaitan politik dan minta menumpukan kepada usaha dakwah sahaja, tetapi sebenarnya saya mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian.

Apa nasihat kepada mereka yang suka berpolitik tanpa mengira masa dan tempat hinggakan semua perkara hendak dipolitikkan sampai menjejaskan kebajikan kepada golongan tertentu?

Mereka sebagai pemimpin kena ingat bahawa apabila dipilih oleh rakyat, mereka sudah bukan menjadi ahli politik sebaliknya telah menjadi negarawan.

Tanggungjawab negarawan menjaga rakyat di kawasan dan negara tidak kira mereka daripada parti politik manapun. Jalankan tanggungjawab sebagai negarawan dan jangan terlampau berpolitik.

Apabila kita menjadi negarawan, apa yang menjadi neraca paksi rujukan kita kalau bukan perlembagaan.

Jalankan kerja-kerja negarawan ini berpandukan perlembagaan dengan tegas dan jangan memperjudikannya kerana secebis undi untuk
mendapatkan kuasa. Tetapi realitinya itu yang berlaku dan lebih teruk daripada itu.

Untuk menang pilihan raya, mereka sanggup menawarkan sesuatu walaupun ia bercanggah dengan perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN