fbpx
Mazura menyuapkan air ke mulut suaminya, Saiful Anuar yang kini terlantar dan tidak mampu menguruskan diri ketika ditemui di Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang, Banting baru-baru ini.

Isteri pikul tugas ketua keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANTING – Seorang wanita kini menjadi ketua rumah dalam menguruskan hal rumah tangga selepas suami yang dicintainya hanya mampu terlantar selepas me­ngalami komplikasi buah pinggang dan paru-paru.

Mazura Mohd. Mangun, 45, berkata, ketika sihat, suaminya, Saiful Anuar Md. Daud, 51, be­kerja sendiri dengan mengambil upah membersihkan kebun, membina rumah dan melakukan kerja-kerja kampung bagi me­nyara mereka sekeluarga.

Ibu empat anak itu berkata, perubahan hidup mereka sekeluarga berlaku apabila suaminya me­ngadu sengal-sengal pada kaki dan belakang badan tiga tahun lalu.

“Kesihatannya semakin merosot pada November tahun lalu apabila kerap keluar masuk hospital dan ditahan di unit rawatan rapi selama tiga bulan pertengahan April lalu.

“Suami telah ditidurkan sebanyak tiga kali apabila jantung­nya lemah akibat kekurangan oksigen dalam badan,” katanya ketika ditemui di Taman Changgang Jaya, Bukit Changgang di sini baru-baru ini.

Menurut Mazura, doktor masih belum dapat mengenal pasti punca penyakit suaminya yang kini bergantung kepada susu khas yang diminum melalui tiub selain tekaknya terpaksa ditebuk untuk membuang kahak.

Tambahnya, suaminya hanya bergantung kepada dia dan empat anaknya berusia antara 16 hingga 23 tahun untuk menguruskan diri seperti makan, mandi, menukar lampin dan lain-lain.

“Kami juga menggunakan ­khidmat ambulans setiap kali menghantarnya menjalani rawatan su­sul­an di hospital yang menelan kos RM200 setiap perjalanan,” katanya.

Mazura berkata, dia kini menjual kuih di kedai makan berhampiran dan menjaga anak jiran bagi mendapatkan wang selain bantuan zakat.

“Sudah tertulis ini yang perlu kami sekeluarga hadapi, namun saya yakin serta berharap suami mampu sihat kembali seperti sediakala dan anak-anak juga rindukan bapa mereka yang suka bergurau dan menjadi tempat mengadu duka,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik anak mereka, Nabila Aisyah di 162375809855 atau menghubunginya di talian 017-632 9085.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN