fbpx

Putin didakwa ada 3 tahun untuk hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tahap kesihatan Putin semakin menjadi perhatian apabila beberapa aksinya ketika bertemu pemimpin dunia menunjukkan beliau seperti kesakitan. - AFP

MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin diberi amaran oleh pasukan doktor peribadinya bahawa beliau memiliki masa hanya tiga tahun untuk hidup, demikian menurut laporan akhbar Mirror UK, kelmarin.

Akhbar berkenaan memetik sumber Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan (FSB) sebagai berkata, Putin menderita penyakit kanser yang sangat agresif.

“Beliau juga mula hilang upaya penglihatan apabila memerlukan teks ucapan ditulis dalam saiz lebih besar ketika muncul untuk berucap di kaca televisyen .

“Alasan yang diberikan adalah Putin mengalami sakit kepala, namun semua tahu bahawa penglihatan beliau semakin terhad selain anggota badannya yang menggeletar,” ujar sumber itu.

Maklumat mengenai penyakit maut Putin itu muncul dalam mesej rahsia daripada perisik Rusia kepada pembelot FSB, Boris Karpichkov yang kini bersembunyi di Britain.

Laporan pada minggu lalu memetik sumber Kremlin itu sebagai mendakwa bahawa Putin berjaya menjalani pembedahan membuang sel kanser 14 hari yang lalu.

Christopher Steele yang merupakan bekas pegawa agensi risikan luar Britain, MI6 pula berkata, Putin tidak boleh mengadakan mesyuarat yang panjang tanpa mengambil waktu rehat.

Kremlin tidak mengulas mengenai dakwaan terbaharu mengenai tahap kesihatan Putin itu tetapi menafikan bahawa beliau berdepan sebarang masalah kesihatan.

Kelmarin Menteri Luar, Sergei Lavrov menepis khabar angin bahawa Putin jatuh sakit. Beliau berkata, tiada tanda-tanda yang menunjukkan pemimpin Rusia itu menghidap sebarang penyakit.

Keadaan kesihatan dan kehidupan peribadi Putin adalah subjek tabu di Rusia dan hampir tidak pernah dibincangkan secara terbuka.

“Saya tidak fikir mereka yang waras dapat melihat tanda-tanda penyakit pada orang ini (Putin),” kata Lavrov semasa menjawab soalan badan penyiaran Perancis, TF1.

Beliau berkata, Putin yang akan berusia 70 tahun pada Oktober ini, muncul di khalayak setiap hari.

“Anda boleh menyaksikan beliau di skrin dan mendengar ucapannya,” ujar Lavrov. 

Putin yang berkuasa di Russia sejak lebih dua dekad lalu, menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari lepas dalam tindakan yang mengejutkan dunia.

Serangan Moscow itu meragut beribu-ribu nyawa dan mencetuskan krisis pelarian terbesar di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI