fbpx

Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu Pindaan Jadual Kedua 2022 diwartakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MPKBM) memaklumkan Perintah Profesion Kesihatan Bersekutu (Pindaan Jadual Kedua) 2022 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 24 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang juga selaku Pengerusi MPKBM berkata, Jadual Kedua (2022) baharu itu menyenaraikan sebanyak 16 Profesion Kesihatan Bersekutu untuk dikawal selia di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774].

Katanya, ia akan menggantikan Jadual Kedua (2016) yang menyenaraikan 23 profesion sebelum ini.

“Selaras dengan perkembangan perkhidmatan kesihatan bersekutu di Malaysia, polisi perkhidmatan awam dan perubahan teknologi serta trend semasa di peringkat antarabangsa, MPKBM telah membuat keputusan untuk meminda Jadual Kedua [Akta 774].

“Antara pindaan yang ketara adalah dengan mengklusterkan Ahli Sains Klinikal (Biokimia), Ahli Sains Klinikal (Bioperubatan), Ahli Sains Klinikal (Embriologi), Ahli Sains Klinikal (Genetik Perubatan), Ahli Sains Klinikal (Mikrobiologi) dan Pegawai Sains Forensik di bawah satu profesion Ahli Sains Makmal Perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, majlis juga melalui Mesyuarat Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia ke-5 (Bil. 1/2022) telah bersetuju menetapkan beberapa perkara berkaitan dengan polisi pendaftaran pengamal kesihatan bersekutu.

“Di antara polisi-polisi yang telah ditetapkan adalah tarikh permulaan pendaftaran pengamal profesion kesihatan bersekutu, tempoh peralihan pendaftaran bagi pengamal, standard kelayakan akademik dan kelulusan permohonan pendaftaran serta Kod Etika dan Tatakelakuan Profesional,” katanya.

Jelas Noor Hisham, senarai 16 Profesion Kesihatan Bersekutu yang akan dikawal di bawah Akta 774 adalah Ahli Audiologi, Ahli Dietetik, Ahli Entomologi (Kesihatan Awam), Ahli Fisioterapi, Ahli Fizik Perubatan, Ahli Pemakanan, Ahli Psikologi Klinikal serta Ahli Radiografi Diagnostik.

Selain itu, ia turut melibatkan Ahli Sains Makmal Perubatan, Ahli Terapi Cara Kerja, Ahli Terapi Pertuturan – Bahasa, Ahli Terapi Radiasi, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pegawai Pendidikan Kesihatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI