fbpx

Di mana nilai lagu rakyat kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HAIKAL ISA, WARTAWAN EKSEKUTIF

Kenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang amat menggamit nostalgia.

Lagu rakyat merupakan antara cabang atau akar seni muzik tempatan yang mudah mendapat tempat dalam hati para pendengar.

Tepuk Amai-Amai, Bangau Oh Bangau dan Enjit-enjit Semut adalah antara karya berstatus legenda yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Ge­nerasi muda hari ini barangkali sangat terdedah dengan muzik daripada barat mahupun K-pop.

BTS idola nombor satu kata mereka. Namun sejauh manapun penafian, lagu rakyat waima sekarang ini kurang mendapat sambutan dan pendedahan sewajarnya baik daripada mereka yang mencipta dan yang mendengar mempunyai nilai estetika tersendiri kepada orang ramai.

Benar, muzik mengalami revolusi dan kehendak pende­ngar juga kian berubah-ubah. Ada masanya mereka inginkan bunyi dan stail muzik Madonna, akan tiba waktunya juga Lady Gaga menggantikan posisi atau kelompongan yang ditinggalkan sehingga datanglah wajah-wajah baharu seperti Ariana Grande ataupun Billie Eilish.

Lagu-lagu rakyat seperti Tua­lang Tiga atau Rasa Sayang yang dinyanyikan oleh mana-mana penyanyi berbeza ge­nerasi sekalipun akan tetap setia berkumandang dan menjadi pilihan ibu bapa seraya mendodoi pe­nyambung generasi mereka di hayunan buai.

Optimis lagu rakyat akan ‘mekar’ sampai bila-bila, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir berkata, mereka yang berkenaan tidak sepatutnya menolak ke tepi lagu-lagu rakyat dan berunsurkan Melayu.

“Mungkin dulu 14 atau 16 tahun lepas, saya pun banyak buat lagu, orang kata, berinspirasikan lagu-lagu dari barat.

“Tapi, apabila kita makin lama dalam industri kita cuba mencari satu kelainan dan timbul ke­sedaran yang sebenarnya, kita ini ada satu keunikan yang negara lain tiada.

“Kita punya notasi muzik, kita punya patah lenggok. Kalau kita fikirkan semua itu betul-betul. Sebab itulah, muzik K-pop boleh naik sebab mereka meletakkan fokus kepada kekuatan mereka sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tidak menjadi satu permasalahan untuk menderaskan karya-karya pop, hip hop atau heavy metal yang mudah memancing cuping telinga para pendengar, kerana muzik itu sifatnya universal dan begitu juga penerimaan orang.

Perihal tersebut dipersetujui Faizal, namun dia percaya bahawa, kalau bukan ‘orang kita’ yang mengangkat seni alam kita sendiri, siapa lagi.

“Kadang-kadang, kita cuba nak buat lagu macam orang barat. Nak buat lagu macam Justin Bieber, Dua Lipa dan lain-lain. Tiada masalah dan tak menjadi satu masalah.

“Tapi, akhirnya nanti kita akan sedar apa yang kita ada itulah yang bagus untuk kita. Saya dah sampai satu tahap pemikiran begitu, alhamdulillah. Saya dah banyak buat lagu yang inspirasi­nya datang dari ‘muzik luar’, sampai saya rasa macam ada yang ‘hilang’.

“Hingga saya sedar, kita punya muzik, kita punya lenggok adalah sesuatu yang orang di luar sana tiada. Orang cakap, lenggok Nusantara, itu yang mahal,” ujar Faizal, 44, yang baru sahaja merilis ‘lagu rakyat’ berjudul Alah Bisa bersama Amira Othman.

Buat mereka terutama generasi yang masih berasa ganjil tentang definisi lagu rakyat, ia adalah lagu-lagu atau nyanyian yang berasal dari sesuatu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di Indonesia, Malaysia, Singapura mahupun Brunei.

Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan atau diperdengarkan semasa bermain, mendodoikan anak atau ketika berkumpul, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-­majlis ke­raian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI