fbpx

Tular pukul : Jangan jadi jaguh raih persepsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abi Mursyidin (tengah) ketika menerangkan sesuatu kepada keluarga tertuduh selepas prosiding pendakwaan hari ini. -Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Mana-mana pihak dinasihatkan agar tidak menjadi jaguh meraih persepsi dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung kes tular penunggang motosikal memukul lelaki warga emas di Padang Jawa di sini.

Peguam Abi Mursyidin Awal berkata, ini bagi menghormati prosiding dijalankan di mahkamah dengan tidak mensensasikan kes tersebut kerana keputusan akhirnya akan diputuskan mahkamah.

“Kita sangat bergantung kepada sensasi ditularkan sesebuah pihak dan dalam kes ini, terdapat beberapa video mewujudkan persepsi pelbagai.

“Jadi tidak perlu seseorang sama ada pihak sini (tertuduh) atau sana (mangsa) menjadi jaguh meraih pelbagai persepsi.

“Jangan sesekali kita cuba meraih simpati dan dengan mensensasikan kes ini sehingga diluar konteks. Tidak perlu! Kita mempunyai satu perjalanan proses kehakiman yang cukup lengkap dan kita percayai dan harus serta wajib kita hormati,” katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini.

Terdahulu, Abi Mursyidin mewakili Muhammad Zulkifli Che Su, 24, yang didakwa hari dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Zainol Din Hussein,61 di Jalan Padang Jawa di sini pada pukul 12 tengah hari, 22 Mei lalu.

Sabit kesalahan, Muhammad Zulkifli yang merupakan juruteknik sebuah syarikat automotif boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketika ditanya pemberita sama ada saman akan difailkan kepada mereka yang mengeluarkan kenyataan berat sebelah, Abi Mursyidin memaklumkan pihaknya belum mendapat arahan daripada anak guamnya.

“Soal saman masih terlalu awal ditakrifkan. Sehingga kini, saya dimaklumkan anak guam hendak menjalani kehidupan seperti biasa untuk dapat berjumpa dengan orang disayanginya.

“Saya turut dimaklumkan ada yang juga hendak minta maaf dan sebagainya, anak guam saya terbuka apa jua perkara yang akhirnya dapat selesaikan perkara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan siasatan terhadap laporan polis dilakukan anak guamnya yang telah dipukul beramai oleh sekumpulan orang kampung.

“Laporan polis dilakukan hari sama (Ahad lalu) pada waktu hampir sama (dilakukan warga emas yang dipukul Muhammad Zulkifli).

“Ini masih dalam siasatan polis belum ada keputusan sama ada dakwa di mahkamah atau tidak,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI