fbpx

Hasil operasi TM naik kepada RM2.89 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatat prestasi keputusan kewangan yang stabil bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 yang mana hasil operasi Kumpulan naik sebanyak 2.9 peratus kepada RM2.89 bilion berbanding RM2.81 bilion suku yang sama tahun lalu.

Peningkatan tersebut dipacu oleh permintaan perkhidmatan suara, internet dan multi media yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, biarpun Kumpulan berdepan dengan persaingan sengit untuk menawarkan penyelesaian bersepadu antara telco dan pemain teknologi lain, TM terus mencatat pertumbuhan jumlah pelanggan yang kukuh merentasi operasinya.

“Dengan memanfaatkan perniagaan teras dan melabur dalam bidang-bidang pertumbuhan baharu, TM memantapkan lagi inisiatif-inisiatif transformasinya, mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) bagi suku ini sejumlah RM339.9 juta berbanding RM325.5 juta yang dicatatkan pada 1Q2021.

“Kumpulan turut merekodkan kos pembiayaan lebih rendah susulan penebusan awal sukuk RM2.0 bilion pada Mac 2021, serta kerugian lebih rendah atas tukaran wang asing bagi pinjaman yang dibuat.

“Kumpulan turut melaksanakan kadar cukai wajib Cukai Makmur untuk suku ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Mengulas lanjut, Imri menerangkan, hasil dan pertumbuhan pelanggan bagi perkhidmatan unifi merekodkan pertambahan hasil sebanyak  10.6 peratus daripada RM1.25 bilion kepada RM1.38 bilion pada suku ini.

Ini dibantu oleh peningkatan permintaan perkhidmatan Internet, suara serta jualan peranti, dengan jumlah kumulatif pelanggan Internet tetap naik 17.5 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

“Unifi kekal sebagai penyumbang pertumbuhan tertinggi Kumpulan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI