fbpx
Rumah keluarga anggota PGA yang terletak di Bechah Keranji, Melor ditembak dengan dua das tembakan senapang angin semalam. - FOTO IHSAN POLIS

Rumah keluarga anggota PGA ditembak dengan senapang angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terkejut selepas rumah keluarganya yang terletak di belakang Sekolah Kebangsaan Bechah Keranji, Melor di sini semalam ditembak dengan dua das peluru senapang angin oleh dua individu yang tidak dikenali.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi semasa lelaki yang berusia 30 tahun itu sedang tidur sebelum terdengar bunyi tembakan dari luar pagar rumah.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota PGA itu terus keluar dari rumah sebelum satu lagi tembakan dilepaskan oleh suspek yang terkena cermin pintu depan rumahnya.

Menurutnya, mangsa sempat melihat bayang dua orang lelaki yang tidak dikenali memegang lampu suluh sebelum mereka melarikan diri selepas kejadian itu.

“Pemeriksaan mendapati, cermin pintu gelangsar rumah dan cermin kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik abang ipar mangsa pecah dengan terdapat kesan lubang sebesar guli.

“Berdasarkan laporan anggota PGA itu, suspek dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang angin. Kedua-dua suspek juga menyuluh lampu ke arah rumah jiran yang kosong terletak kira-kira 15 meter dari rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Zaki, mangsa termasuk ahli keluarganya tidak mengesyaki sesiapa dalam kejadian itu kerana mereka tiada sebarang masalah hutang atau pergaduhan dengan mana-mana pihak. KOSMO! ONLINE

POPULAR