fbpx

Najib, Shafee gagal dapat kebenaran merayu semakan kehakiman singkir Sri Ram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk mendapatkan kebenaran merayu semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes masing-masing.

Kebenaran merayu itu adalah keputusan mahkamah terdahulu yang menolak rayuan mereka berhubung semakan kehakiman tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama-sama Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat memutuskan demikian atas alasan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Salah satu keperluan yang perlu dipenuhi sebelum kebenaran merayu diberikan ialah permohonan membabitkan persoalan undang-undang yang belum pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Kami berpendapat bahawa persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh pemohon telah dijawab dalam beberapa kes sebelum ini. Oleh itu, tidak keperluan untuk kami menyimpang daripada penghakiman yang telah diputuskan sebelum ini, ” kata Hakim Mohd. Zawawi ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion dan kes Muhammad Shafee membabitkan pengubahan wang haram RM9.5 juta.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan dalam kes penyelewengan dana 1MDB pada Disember 2018.

Sementara itu, Muhammad Shafee yang juga peguam Najib dalam kes seleweng tersebut mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada Najib berjumlah RM9.5 juta.

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Pada 8 November 2021, Mahkamah Rayuan mengekal keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan pelantikan Sri Ram bagi mengendalikan kes jenayah Najib dan Muhammad Shafee Ddilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang betul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI