fbpx
PDRM

Pengawal keselamatan dakwa temui harimau ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG JAYA – Polis menahan seorang pengawal keselamatan warga asing yang mendakwa menyaksikan kemunculan seekor harimau berlegar di Kemensah Height, Hulu Kelang awal pagi semalam.

Kisah kemunculan harimau itu tular di aplikasi WhatsApp dengan pengawal keselamatan berkenaan mendakwa menemui seekor harimau berhampiran sebatang tiang lampu di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya memberkas lelaki warga Bangladesh berusia 51 tahun terbabit di pondok pengawal pada pukul 7 petang semalam.

“Hasil semakan dan pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Lelaki itu juga dipercayai saksi yang memberi maklumat berhubung kemunculan harimau berkenaan sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad Farouk berkata, polis menerima laporan berhubung satu pesanan suara yang tular di aplikasi WhatsApp mendakwa melihat harimau di kawasan kejiranan itu dan meminta penduduk berhati-hati.

“Pengadu menganggap dakwaan itu adalah tidak tepat dan mendatangkan kegusaran serta kebimbangan terhadap penduduk susulan tiada bukti jelas berkenaan kehadiran harimau terbabit.

“Satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu yang tular itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR