fbpx

Kes HFMD meningkat 15 kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut (HFMD) melaporkan peningkatan sebanyak 15 kali ganda dengan 31,661 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 (14 Mei) lalu, berbanding ME sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 2,121 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, untuk kes yang dilaporkan sepanjang ME 19/2022, sebanyak 7,526 kes dilaporkan berbanding ME 18/2022 dengan 1,676 kes di seluruh negara iaitu peningkatan 349 peratus.

“Pada tahun ini sehingga 14 Mei lalu, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 8,864 kes (28 peratus).

“Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes (14 peratus), Sabah 2,650 kes (lapan peratus), Perak 2,638 kes (lapan peratus) dan Kelantan 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 1,500 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, sebanyak 889 wabak dilaporkan di negara ini dengan tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus) dan Perak 105 wabak (12 peratus).

“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska, pra-sekolah iaitu 575 wabak (65 peratus), diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (tiga peratus).

“Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI