fbpx

Guna anak lima tahun sembunyi kegiatan pengedaran 48,000 biji pil kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan pil kuda yang dirampas di dalam sebuah MPV di hadapan pasar raya di Kuala Krai semalam. FOTO: ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Taktik licik seorang lelaki Thailand menggunakan anak perempuannya yang berusia lima tahun untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila dia ditahan bersama 48,000 biji pil kuda bernilai RM480,000 di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di depan sebuah pasar raya di Kuala Krai semalam.

Lelaki berusia 28 tahun yang disyaki pengedar dadah itu dicekup ketika bersama anaknya yang digunakan untuk kaedah penyamaran semasa mereka berada di dalam sebuah MPV jenis Toyota Avanza pada pukul 5.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dijalankan, MPV tersebut diletakkan di kawasan parkir pasar raya itu.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan, polis menemui bungkusan berwarna kuning mengandungi 48,000 biji pil kuda yang diletakkan di dalam sebuah beg.

“Selain itu, kita turut merampas wang tunai sebanyak RM440 di dalam MPV dinaiki suspek. Susulan daripada penahanan suspek, polis terus menjalankan serbuan di rumah lelaki itu di Kampung Perupok, Bachok, namun tiada sebarang rampasan dibuat.

“Siasatan lanjut mendapati, kesemua pil kuda itu dipercayai diperoleh dari negara jiran. Suspek juga dipercayai mempunyai rangkaian di negara jiran yang boleh menghantar bekalan bagi tujuan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zali, kesemua pil kuda yang dirampas boleh dibekalkan kepada seramai 24,000 orang penagih.

Katanya, berdasarkan semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI