fbpx

Penghantar makanan maut digilis bas ekspres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal mangsa selepas merempuh sebuah kereta sebelum digilis bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas dekat Salor malam tadi.- Foto oleh IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Seorang penghantar makanan maut selepas merempuh sebuah kereta sebelum dipercayai digilis bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 11, Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, Salor di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Muhammad Amin Maula Ismail, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS150 dari arah Kota Bharu ke Pasir Mas.

Menurutnya, semasa mangsa melalui kawasan hadapan Surau Haji Sulong Parit Cina, sebuah kereta jenis Honda City dipercayai mengundur secara mengejut dan memasuki jalan utama.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak kereta yang dipandu seorang warga emas berusia 73 tahun itu sebelum merempuh bahagian belakang sisi kanan kereta tersebut.

“Insiden itu menyebabkan Muhammad Amin Maula terjatuh di laluan bertentangan sebelum dipercayai digilis sebuah bas ekspress ekoran tidak sempat mengelak mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shuhaimi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu bas ekspress terbabit yang berusia 64 tahun untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, siasatan lanjut turut mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian warga emas itu yang mengundur keretanya secara mengejut dan menghalang laluan motosikal sehingga menyebabkan kemalangan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI