fbpx

Sorok pil kuda, syabu dalam kotak rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 405 biji pil kuda dan dadah jenis syabu seberat 0.81 gram dijumpai di dalam kotak rokok selepas menahan seorang lelaki di Kampung Gelong Gajah, Bunut Susu dekat Pasir Mas semalam. - FOTO IHSAN POLIS

PASIR MAS – Taktik seorang buruh yang menyembunyikan sebanyak 405 biji pil kuda dan dadah jenis syabu seberat 0.81 gram di dalam kotak rokok gagal apabila dia ditahan di Kampung Gelong Gajah, Bunut Susu di sini semalam.

Suspek berusia 47 tahun dipercayai berperanan sebagai pengedar dadah ditahan anggota Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada pukul 6.30 petang semasa menjalankan Ops Samseng Jalanan di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa melakukan pemantauan, anggota polis melihat sebuah kereta jenis Proton Perdana dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Slow Machang.

Menurutnya, anggota bertugas terus menahan kereta yang dipandu suspek di tepi jalan Kampung Gelong Gajah, Bunut Susu.

“Polis terus membawa suspek dan kereta dipandunya ke Balai Trafik Pasir Mas. Pemeriksaan di dalam poket kanan seluar dipakai suspek telah menjumpai kotak rokok.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kotak rokok itu telah membawa kepada penemuan 405 biji pil kuda dan dadah jenis syabu seberat 0.81 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Nasaruddin memberitahu, suspek mengaku dadah itu adalah miliknya dan memaklumkan mendapat bekalan itu daripada seorang lelaki yang tinggal di Kampung Limbat di sini.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai lima rekod lampau berkait kes dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI