fbpx
UKISAN itu pertama kali dilihat dalam sebuah dokumentari pada 2019. – CEN

Lukisan Picasso yang hilang berada di rumah balu diktator Filipina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA – Sebuah lukisan karya artis seni Sepanyol, Pablo Picasso yang dilaporkan hilang telah dikesan di rumah ibu kepada Presiden Filipina yang baharu, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr, lapor akhbar The Sun.

Lukisan dinamakan ‘Reclining Woman VI’ itu dilihat tergantung di dinding ketika temu bual bersama Marcos Jr diadakan. 

Karya mendiang Picasso yang tidak ternilai itu yang pada asalnya dipercayai diarahkan untuk dirampas daripada keluarga Marcos pada 2014 bersama tujuh lukisan lain.

Keluarga itu dipercayai membelinya menggunakan wang hampir £8 bilion (RM43.15 bilion) yang dirampas daripada rakyat ketika pemerintahan mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos.

Kewujudan lukisan itu dikesan ketika isteri mendiang, Imelda Marcos ditemui dalam satu segmen temu bual berkenaan.

Lukisan yang dilaporkan bernilai sekitar £125 juta (RM674.3 juta) itu pertama kali dilihat dalam satu dokumentari pada 2019, ‘The Kingmaker’ arahan pengarah dari Amerika Syarkat, Lauren Greenfield.

Dalam dokumentari tersebut, Imelda mempamerkan lukisan tersebut bersama dengan beberapa artifak lain yang mahal dan jarang ditemui dalam koleksinya.

Bagaimanapun, apabila penyiasat tiba di rumah Imelda di bandar Makati di selatan Manila, mereka tidak menemui lukisan itu.

Kini, ia telah muncul semula setelah hampir tiga tahun selepas anak lelaki Marcos, Ferdinand Marcos Jr, memenangi pilihan raya presiden pada minggu ini. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lukisan itu asli atau replika. – Agensi

POPULAR